Pelakon Aeril Zafrel telah membuat laporan polis selepas kediamannya diceroboh oleh individu tidak dikenali, dua hari lalu. Tindakan ini diambil kerana bimbang akan keselamatan keluarganya.
Aeril, atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 36, mendedahkan perkara ini melalui Instagramnya. Dia berkata telah menemui batang pinang bersama kulit limau yang dibakar di kawasan rumahnya, dipercayai dihantar oleh individu tersebut.
“Siapa kenal budak ini tolong saya! Budak ini panjat rumah saya dan saya nampak dia letak barang. Kalau kenal tolong maklumkan kepada saya. Laporan polis telah dibuat tetapi susah nak kesan kerana nombor pendaftaran motornya tidak dapat dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Isteri Aeril, Wawa Zainal, yang juga seorang pelakon, mengakui terkejut dan tidak menyangka ada individu yang sanggup melakukan perbuatan tersebut.
“Jiran saya yang kongsi rakaman CCTV itu. Pada mulanya ingat nak merompak tetapi selepas kejadian itu, kami jumpa batang pinang dan kulit limau. Kami tak kenal lelaki itu tetapi sanggup dia lakukan perkara sebegitu,” ujarnya.
Tambah Wawa, kejadian sebegitu bukan kali pertama mereka alami. Sebelum ini, mereka pernah mendedahkan terdapat pihak lain yang cuba melakukan perkara yang sama.
“Sejak mendirikan rumah tangga, memang banyak insiden sebegitu berlaku termasuk menerima barang pelik-pelik. Kami tak guna sebarang ‘pendinding’, cuma menjaga amalan sepatutnya agar dijauhkan daripada perkara terkutuk sebegitu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Aeril mengakui pernah menjadi mangsa perbuatan sihir oleh individu yang tidak berpuas hati dengan kehidupannya. Antara kesan yang dihadapinya ialah menjadi seorang panas baran dan mengalami mimpi pelik.