APM ‘digula-gulakan’ lebih sejam, mangsa jatuh longkang rupanya sempat balik rumah dan mandi.
Semasa terjatuh, mangsa dikatakan segera berpaut dengan mesin pemotong rumpur untuk memanjat naik sebelum segera balik ke rumah dan membersihkan diri.
Siapa sangka, seorang mangsa yang dilaporkan hilang secara tiba-tiba muncul dalam keadaan seperti biasa di saat misi mencari dan menyelamatnya sedang berjalan.
Kedengaran pelik, namun begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki ini apabila dia secara tiba-tiba muncul di sebalik orang ramai ketika sepasukan anggota Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) sedang sibuk mencarinya.
Lelaki warga Myanmar dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dalam longkang
Menurut Berita Harian, lelaki warga Maynmar berusia 27 tahun itu dikatakan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang kumbahan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Lelaki terbabit turut mengakui dia sudah pulang ke rumah selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran sekolah rendah di kawasan itu dan mandi sebelum kembali ke lokasi kejadian.
Perkara itu dimaklumkan lelaki terbabit selepas lebih sejam pencarian dilakukan oleh pasuka APM dalam kawasan loji dan kumbahan yang dikatakan sedalam 3.65 meter.
APM terima panggilan kecemasan pada jam 5.51 petang, 5 Oktober
Pegawai APM Kuala Lumpur, Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.51 petang sebelum 14 anggota bersama beberapa jentera dari APM Kuala Lumpur dan Gombak dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan seorang mangsa terjatuh dalam longkang yang juga kawasan kumbahan sedalam 3.65 meter.
“Ketika pencarian mangsa dilakukan lebih satu jam di dalam kawasan loji, seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun hadir di lokasi.
“Lelaki itu memaklumkan dia adalah mangsa yang terjatuh ke dalam longkang berkenaan semasa memotong rumput selepas terpijak zink yang menutup lubang kumbahan berkenaan.
“Mangsa memberitahu dia segera berpaut dengan mesin pemotong rumput untuk memanjat naik sebelum segera balik ke rumah dan membersihkan diri,” katanya.
Operasi mencari dihentikan jam 7.30 malam
Berkongsi lanjut, Ahmad Junaidi berkata lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan susulan itu, operasi pencarian dihentikan pada jam 7.30 malam kelmarin (5 Oktober).