Arab Saudi perkenal kad nusuk untuk para jemaah, perlu dibawa ketika menunaikan haji bermula tahun ini

Kementerian Haji dan Umrah menyeru jemaah yang datang dari dalam mahupun luar Arab Saudi untuk mendapatkan kad Nusuk yang baru dilancarkan bagi kegunaan musim haji tahun ini sebelum tiba di Tanah Suci.

Portal berita Al-Jazeera melaporkan bahawa jemaah diwajibkan membawa kad tersebut sepanjang perjalanan dan pergerakan semasa tempoh haji, bermula dari ketibaan hingga pulang ke negara masing-masing.

Kementerian itu menekankan keperluan kad tersebut ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta semasa pergerakan di antara Mina, Arafah, dan Muzdalifah. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi musim haji, memudahkan ibadah haji, dan meningkatkan keselamatan jemaah.

Sebelum ini, Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah memperkenalkan kad jemaah haji Nusuk kepada Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas, semasa lawatan rasminya ke Indonesia.

Kad tersebut mengandungi butiran pengendali haji masing-masing, jadual kumpulan jemaah, alamat kediaman, dan juga membolehkan jemaah menerima makluman khas serta menyalurkan aduan melalui kad digital.

Arab Saudi perkenal kad nusuk untuk para jemaah, perlu dibawa ketika menunaikan haji bermula tahun ini

Kad tersebut juga direka untuk mengurangkan kadar individu yang mengerjakan haji secara haram dan memudahkan pengesahan identiti setiap jemaah.

Kad tersebut dikeluarkan dalam format digital dan fizikal, di mana salinan cetakan kad akan dihantar kepada jemaah haji atau pengendali haji masing-masing.

Jemaah haji perlu mengimbas kod QR pada kad cetak untuk mendapatkan versi kad digital.

Kemudahan yang disediakan oleh kad ini termasuk membuktikan identiti jemaah di hadapan pihak berkuasa dengan memaparkan maklumat penting seperti data peribadi, alamat, dan rekod kesihatan jemaah, yang dipautkan kepada aplikasi telefon pintar.

Menerusi perbualan di LiveChat Tabung Haji, jemaah dari Malaysia perlu memuat turun aplikasi Nusuk atau Tawakkalna sebelum ke Tanah Suci.

Jemaah pertama dari Malaysia akan berlepas pada 9 Mei 2024, manakala penerbangan terakhir fasa pertama adalah pada 9 Jun 2024, seperti yang dinyatakan di laman web Tabung Haji.

BACA:
Servis bertukar tangan, giliran Alif Syukri disaman sebanyak RM70 juta dengan Tan Sri Abdul Kadir
Minah saleh pandai cakap utara, kalau dengar sambil pejam mata, mesti ingat orang Kedah yang bercakap
Syarikat penerbangan paling pelik di dunia, pilot akan beritahu penumpang destinasi yang dituju selepas 2 jam perjalanan