Bagi menerokai peluang ekonomi baharu untuk Malaysia, MOSTI rancang bina tapak pelancaran roket angkasa.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dilaporkan sedang merancang garis panduan berkenaan kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas.
Idea pembangunan tersebut dibuat sebagai sebahagian dari usaha menerokai peluang ekonomi baharu untuk Malaysia.
Menurut kenyataan dikeluarkan MOSTI, mereka percaya bahawa Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas tersebut.
“Jika menjadi realiti, kemudahan yang dibangunkan akan menjadi yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan Malaysia menjadi negara kesembilan memiliki fasiliti tersebut,” tulis kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa menjadikan ia sebagai kelebihan buat negara kita.

“Keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar dengan kos operasi yang jauh lebih kompetitif,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, MYSA kini dilaporkan sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak dan industri yang berminat untuk pembangunan kemudahan tersebut.
“Penglibatan kerajaan dalam industri ini dianggarkan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi angkasa dengan nilai RM10 bilion menjelang 2030. Di samping pertumbuhan 500 syarikat pemula teknologi berkaitan angkasa, seterusnya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan,” tambah MOSTI lagi.
Selain itu, MOSTI juga dikatakan sedang merangka Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) menerusi strategi perkongsian awam dan swasta.
Program itu dijangka akan bermula pada tahun 2026 depan.
Program itu dikatakan penting dalam memastikan kesinambungan pemilikan data-data strategik negara.
Di mana ia turut menyokong keberkesanan operasi 50 buah pakej sistem aplikasi yang telah dibangunkan oleh MYSA.