Bapa kepada 3 anak buat langkah luar biasa, wasiatkan harta RM69 juta kepada 10 badan kebajikan.
Seorang ayah yang juga ahli perniagaan Singapura, Loh Kiong Poot, 79, mengambil keputusan untuk ‘wasiatkan’ harta bernilai SG$20 juta (RM69 juta) kepada 10 badan kebajikan, lapor AsiaOne.
Wasiat bapa untuk badan kebajikan
Menurut laporan, bapa berkenaan membuat keputusan ‘wasiat harta’ kerana percaya bahawa ketiga-tiga anaknya boleh hidup berdikari selepas dirinya meninggal dunia suatu hari nanti.
Loh juga percaya, kesemua anaknya memiliki harta yang mencukupi buat diri mereka masing-masing dan seterusnya hidup berdikari.
Tambah Loh, wasiat berkenaan sudah pun dibuat ketika berusia 50 tahun dan dilaburkan dalam bentuk bon. Namun, dikhaskan ke atas 10 penerima tersebut daripada awal.
Ada tinggalkan sedikit harta buat keluarga
Loh bagaimanapun memberitahu dirinya juga meninggalkan sedikit harta berbentuk aset hartanah kepada anak-anak dan isterinya.
“Sudah tentu, saya akan meninggalkan sedikit harta buat mereka (anak-anak) termasuk isteri saya, iaitu beberapa aset hartanah,”ujarnya.
Sebelum ini, Loh dikatakan sering memberi sumbangan dana kepada badan-badan kebajikan sejak tahun 1990-an lagi.
Pada tahun 2022, Loh juga telah menyumbangkan kira-kira SG$3 juta (RM10.40 juta) kepada enam buah badan kebajikan.
Loh dilaporkan menyumbangkan kira-kira SG$500,000 (RM1.7 juta) setiap tahun kepada The Straits Times School Pocket Money Fund (STSPMF) sejak tahun 2018 lagi.
Beliau juga berazam utuk menjadikan sumbangan dana kepada badan kebajikan sebagai aktiviti tahunannya.
Menurut laporan, Loh berpegang kepada beberapa prinsip berkenaan harta dalam hidupnya, iaitu percaya setiap manusia dilahirkan tanpa wang dan mereka juga tidak patut meninggal dunia dengan wang tersebut.
“Jika anda memiliki wang yang lebih, kenapa mahu menyimpannya? Jika anda boleh menderma dan membantu orang lain, silakan menderma. Itu prinsip saya,” katanya lagi.