Bapa maut diserang ketika berada di rumah, kepala disorok untuk ritual sihir.
Seorang lelaki telah tewas dengan cara yang kejam setelah dibunuh, dan kepalanya ‘disembunyikan’ dalam upacara penyembahan dan ritual sihir ilmu hitam.
Perkara tersebut terbongkar setelah anak mangsa, seorang remaja berusia 18 tahun, mengetahui tentang kegiatan ritual yang berlangsung di kampung mereka.
Menurutnya, mendiang bapanya yang berusia 53 tahun tidak pernah terlibat dalam sebarang pergaduhan sebelum ini. Bapanya bekerja sebagai pengimpal besi dan keluli, menjadikannya seorang yang jarang bergaul dengan orang lain.
“Jadi, apabila berlaku kejadian ngeri seperti ini, saya yakin ia pasti berkaitan dengan kepercayaan atau mungkin dilakukan oleh penagih dadah,” ujarnya.
Kejadian tragis itu berlaku pada 11 November di Mukim Takhian Thong, Daerah Kanchanadit, Provinsi Surat Thani, Thailand. Mangsa tewas selepas kepalanya dipenggal oleh seorang individu yang tiba-tiba menyerangnya di rumah.
Laporan Sanook menyatakan bahawa pada 13 November, pihak polis melakukan siasatan di kawasan kejadian dan mengumpul DNA empat orang awam yang diketahui berkawan dengan mangsa.
Salah seorang daripada suspek yang dikenali sebagai Kung, berumur 50 tahun, merupakan penduduk kampung yang diketahui gemar mengamalkan ritual ilmu hitam dan sering melakukan upacara ‘korban’ sebagai bahan penyembahan.
Meskipun demikian, polis tidak menolak kemungkinan adanya konflik peribadi antara mangsa dan suspek tersebut. Pihak berkuasa masih dalam proses mencari kepala mangsa di beberapa lokasi yang dikaitkan dengan suspek. Siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk menangkap pelaku yang masih bebas.