Heboh di media sosial mengenai sebuah keluarga yang tidak sengaja memakan daging babi selepas pekerja penghantaran tersilap menghantar bungkusan tempahan.
Kisah yang terjadi pada 1 Jun lalu itu dikongsi oleh pemilik akaun Izham Nayan di media sosial, yang akhirnya mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Melalui hantaran yang tular itu, Izham Nayan menceritakan bahawa pekerja penghantaran tersebut telah tersilap menghantar makanan yang mengandungi daging babi ke rumah rakannya.
Akibat dari kesilapan tersebut, anak-anak rakannya telah memakan daging berkenaan yang haram bagi umat Islam.
“Foodpanda tersilap hantar makanan mengandungi babi ke rumah kawan saya, anak-anaknya telah memakan makanan tersebut.
“Tempahan asal adalah Mee Tarik Warisan, pada masa itu ibu mereka sedang mengendalikan kelas dalam talian… anak-anak kecil pula sedang lapar,” jelasnya.
Menurut Izham Nayan lagi, tempahan itu dibuat oleh si bapa untuk anak-anaknya makan di rumah.
“Anak-anak menerima dan terus makan, resit kebiasaannya ditampal di luar tetapi yang ini diletakkan di bahagian bawah dalam plastik… setelah mengeluarkan semua baru ternampak resitnya,” tambahnya lagi.
Melalui beberapa gambar yang tular, terdapat dua resit dari kedai berbeza yang dikongsikan, di mana sebuah kedai adalah premis nasi ayam manakala satu lagi menjual mee tarik yang terletak di Kajang.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pengguna maya menyalahkan sikap pekerja penghantaran yang tidak berhati-hati ketika menghantar makanan yang dipesan.
“Saya pernah membuat tempahan. Pekerja penghantaran berkata sudah menghantar, kita kelam-kabut mencari di mana ia diletakkan… rupanya anak jiran sudah ambil dan simpan untuk dimakan.
“Pernah juga pekerja penghantaran tersalah beri makanan tetapi pada masa itu kami telah bertanya dengan teliti kepada pekerja tersebut kerana hanya membuat sedikit tempahan. Kadang-kadang mereka pun terlepas pandang.
“Tidak mengapa, tidak dikira berdosa jika benar-benar tidak perasan. Tetapi jika sudah tahu dan masih lagi makan atau melakukannya memang haram,” ujar beberapa pengguna maya.