Berang layanan terhadap dirinya kurang memuaskan, wanita nekad tukar ‘password’ rakan sekerja lepas berhenti.
Menurut wanita tersebut, dia sedar masih boleh mengakses akaun pengurus setelah berhenti kerja selama seminggu.
Setiap individu yang melangkah ke dunia pekerjaan pastinya ingin yang terbaik, termasuklah persekitaran bekerja.
Namun, tidak semua orang mempunyai nasib baik untuk memiliki persekitaran yang positif dan saling membantu antara satu sama lain.
Ini kerana, terdapat segelintir pekerja yang tertekan, bukan kerana bebanan kerja, tetapi disebabkan persekitaran yang toksik dan suasana negatif daripada rakan sekerja.
Wanita tersebut mengalami perkara serupa apabila menerima layanan buruk dari rakan sekerja di sebuah restoran.
Namun, yang mengejutkan ialah dia tidak tinggal diam setelah berhenti kerja. Sebaliknya, wanita ini bertindak menukar kata laluan akaun semua pekerja di situ.
Wanita tersebut membuat pengakuan ini melalui laman Reddit.
Ujarnya dia tidak kisah jika tindakannya dianggap tidak matang atau sebagainya selepas menerima layanan buruk dari kumpulan kerjanya.
“Saya tidak boleh mengambarkan betapa teruknya saya dilayan ketika bekerja, malah seluruh kumpulan saya melakukannya.
“Saya merupakan satu-satunya wanita dalam pasukan, jadi mungkin kerana itu. Namun, saya tidak mahu bermain dengan jantina,” katanya.
Menurut wanita tersebut, dia tidak pernah bersikap kurang ajar kepada mereka, dan kerana tidak suka bersemuka, dia memilih untuk hanya berdiam diri.
“Saya takut, jadi saya menerima sahaja bagaimana layanan diberikan kerana terlalu memerlukan pekerjaan tersebut ketika itu.
“Pada satu petang, saya membuat keputusan. Saya pulang ke rumah pada malam itu dan tidak datang bekerja. Saya kemudian mendapat banyak panggilan telefon dan mesej di WhatsApp daripada mereka yang bertanya mengapa saya tidak datang bekerja.
“Saya kemudian tidak mengendahkannya. Seperti yang saya katakan, saya tidak pandai menangani konflik dengan baik, jadi saya tidak boleh bercakap dengan mereka melalui telefon kerana sudah kecewa pada petang itu,” ujarnya.
Wanita tersebut kemudian mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Selepas seminggu berhenti, dia menyedari masih boleh mengakses akaun pengurusnya dan kata laluan juga tidak ditukar.
“Akaun tersebut secara asasnya mempunyai semua data restoran seperti menu, kakitangan, pesanan, stok, dan sebagainya.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menukar e-mel kepada yang palsu dan menukar semua kata laluan staff supaya mereka tidak dapat mengaksesnya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Tiada sesiapa menghubungi saya. Saya tidak tahu sama ada mereka menyangka saya yang membuatnya atau tidak,” jelasnya.
Menerusi semakan kami, luahan itu telah dibuat oleh wanita tersebut pada lima bulan yang lalu di Reddit, namun baru dikongsikan di Instagram Reddit baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, wanita tersebut yang menggunakan akaun @shortylikeamelody tidak memaklumkan di mana lokasi restoran tempat dia bekerja.