Budak 8 tahun didera hingga susut berat badan, dikurung dalam tandas dan dipukul sampai tak bermaya

Budak 8 tahun didera hingga susut berat badan, dikurung dalam tandas dan dipukul sampai tak bermaya.

Seorang budak lelaki berusia lapan tahun ditemukan dalam keadaan tidak bermaya, dibiarkan berbogel dan dikurung di tandas di rumah keluarganya di Flat Taman Pulai Jaya di Pulai, sini, Jumaat lalu.

Penderitaan dialami budak yang dipercayai menjadi mangsa penderaan itu berakhir apabila jiran yang bertandang ke rumah itu untuk menumpang barang basah di peti ais keluarga mangsa menyedari perkara terbabit, Khamis lalu.

Jiran tersebut kemudiannya mengadukan perkara terbabit kepada jiran lain sebelum ia dirujuk ke sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai, N Batma Rajan berkata, dia yang terima panggilan daripada penduduk di kawasan berkenaan kemudiannya berusaha meninjau keadaan mangsa dan mendapatkan penjelasan daripada penghuni kediaman itu, namun gagal.

Menurutnya, dia serta pengasas I Care Community Centre M Caren Nantheny kemudiannya menghubungi polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Budak 8 tahun didera hingga susut berat badan, dikurung dalam tandas dan dipukul sampai tak bermaya

Katanya, ketika menyelamatkan budak itu, mangsa dalam keadaan tidak bermaya, berbogel, menggigil selain terdapat kesan luka pada tubuhnya.

Selain itu, terdapat juga kesan luka atau parut lama selain tapak kakinya cedera atau berair hingga sukar bergerak.

“Ketika diselamatkan, ada seorang wanita berusia 40-an, dipercayai kekasih bapa mangsa, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang juga anak wanita itu berada di rumah berkenaan.

“Bapa mangsa yang dipercayai bekerja sebagai pemandu van kilang pula tiada di rumah.

“Berdasarkan cerita kanak-kanak itu, dia sudah didera lebih daripada enam bulan malah cukup menderita akibat perkara terbabit,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, menurut Batma, jiran mangsa turut mendakwa sering mendengar mangsa menjerit.

“Mangsa mendakwa dia kerap dikurung dalam tandas dan dihukum dengan alasan bersikap nakal serta gemar keluar rumah.

“Ketika ditanya sebelum ditahan polis, si bapa dan kekasihnya saling menuding jari siapa yang terbabit mendera kanak-kanak itu,” katanya.

Caren Nantheny pula memaklumkan, pihaknya turut menghubungi ibu kandung kanak-kanak itu yang tinggal di Kuala Selangor selepas mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menurutnya, wanita berusia 40-an itu hanya mengenali mangsa berdasarkan tanda lahir di tubuhnya kerana rupanya berbeza berbanding sebelum ini ketika mengunjunginya.

“Wanita itu mendakwa, bekas suaminya membawa keluar mangsa yang juga anak tunggal mereka kira-kira dua tahun lalu sebelum gagal menghubunginya.

“Wanita itu menyatakan, sebelum ini, anaknya itu agak berisi namun kini berat badannya hanya 29 kilogram,” katanya.

Caren Nantheny berkata, sepanjang bulan ini, pihaknya menerima tujuh aduan kes dera membabitkan kanak-kanak.

“Kami harap masyarakat peka dengan kejadian seumpama ini dan tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa demi menyelamatkan nyawa dan masa depan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes terbabit.

“Dua suspek ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

BACA:
Aiskrim paling mahal di dunia, berharga RM31,729 dan tidak memiliki tarikh luput
Lelaki terkilan dipenjara 12 bulan, gara-gara ugut anak tunaikan solat guna pisau
“Nak berniaga apa barang dah hilang” – Peniaga luah rasa kecewa, ikan dan udang yang di simpan kena curi orang lain