Baru-baru ini, tular di platform TikTok satu video serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sebuah rumah yang telah membuka mata ramai tentang kezaliman dadah. Dalam video tersebut, seorang wanita menunjukkan keadaan rumah tersebut yang dipercayai menjadi sarang penagih dadah, dipenuhi dengan sampah sarap dan lebih menyedihkan lagi, terdapat seorang kanak-kanak kecil sedang tidur berhampiran timbunan sampah.
Menurut wanita tersebut, penemuan kanak-kanak berusia sekitar 4 tahun itu adalah sesuatu yang tidak diduga dan bukan sebahagian daripada operasi AADK. Melihat keadaan kanak-kanak yang tidak berdosa terdedah kepada persekitaran yang kotor dan bahaya, beliau dengan bantuan rakan-rakan segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan bagi keluarga tersebut.
Serbuan AADK di rumah itu membawa kepada penangkapan dua orang lelaki dewasa dan seorang wanita yang disyaki penagih dadah. Hasil pemeriksaan dan ujian air kencing mendapati dua lelaki tersebut positif dadah. Susulan itu, pihak berkuasa telah membersihkan rumah tersebut dan kini kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan ibunya.
Kisah ini menjadi satu tamparan yang kuat buat kita semua tentang bahaya dadah yang bukan sahaja memusnahkan diri individu, tetapi juga menjejaskan kehidupan orang-orang di sekeliling, terutamanya kanak-kanak yang tidak berdosa. Kejadian ini juga menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan AADK dalam memerangi dadah serta usaha mereka untuk menyelamatkan masa depan generasi muda.
Kita perlu bersama-sama berganding bahu untuk memerangi dadah dengan menyebarkan kesedaran tentang bahayanya, membantu mereka yang terjebak dalam penagihan dan menyokong usaha-usaha pemulihan yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Ingatlah, masa depan anak-anak dan generasi muda negara ini terletak di tangan kita.
LIHAT LEBIH LAGI VIDEO TEKAN SINI