Bukan biasa-biasa juga Malaysia, ini 6 negara yang pasport paling berkuasa

Senarai pasport paling berkuasa di dunia untuk tahun 2024 telah diterbitkan, dan buat pertama kali, enam negara berkongsi tempat pertama dalam ranking tersebut, mengikut laporan portal berita MailOnline kelmarin.

Menurut senarai Indeks Pasport Henley yang berpangkalan di London, enam pasport tersebut adalah milik Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Jepun, dan Singapura.

Rakyat dari keenam-enam negara tersebut mempunyai akses bebas visa ke 194 destinasi daripada 227 negara di seluruh dunia.

Rentastic Register Page

Tiga negara berkongsi tempat kedua iaitu Finland, Korea Selatan, dan Sweden.

Austria, Denmark, Ireland, dan Belanda pula berkongsi tempat ketiga.

Tempat keempat pula dikongsi oleh Belgium, Luxembourg, Norway, Portugal, dan United Kingdom (UK).

Australia mengekalkan kedudukannya di tempat keenam dengan akses bebas visa ke 189 buah negara.

Amerika Syarikat (AS) berada di tempat ketujuh dengan akses ke 188 buah negara tanpa visa, walaupun masih jauh dari kedudukannya pada 2014 apabila AS menduduki tangga pertama bersama UK.

Sementara itu, Malaysia menduduki tempat ke-12 dan berkongsi kedudukan bersama Cyprus serta Liechtenstein.

Di tangga terakhir ialah Afghanistan pada kedudukan ke-104, diikuti oleh Syria (103), Iraq (102), dan Pakistan (101).

Pengerusi Henley & Partners dan pencipta konsep Indeks Pasport, Dr Christian Kaelin, menyatakan bahawa jurang mobiliti global antara negara-negara teratas dan tercorot dalam indeks tersebut kini semakin meluas berbanding sebelum ini.

“Purata bilangan destinasi pelancongan yang boleh diakses tanpa visa hampir dua kali ganda meningkat dari 58 destinasi pada tahun 2006 menjadi 111 pada tahun 2024.

“Namun, apabila memasuki tahun baru, negara-negara teratas kini boleh melancong ke lebih 166 destinasi tanpa visa,” katanya.

BACA:
‘Menjadi manusia yang pertama’, budak 13 tahun ambil masa 38 minit untuk habiskan game Tetris
Kedai makan ‘tiada pekerja’, pemilik letak notis dan harga untuk pelanggan bungkus dan bayar sendiri
Sentiasa segak dalam apa jua istiadat, 7 nama alat kebesaran diraja ini selalu dipakai dan digunakan YDPA