Sepasang suami isteri berkongsi klip video yang memaparkan duit raya yang dikumpulkan oleh dua anak mereka berjumlah 100 juta rupiah (RM29,375), seperti yang dilaporkan oleh portal berita Wolipop.
Shandy Purnamasari dan Gilang Widya Pramana mengusahakan perniagaan kosmetik di Indonesia terutamanya produk kecantikan jenama MS Glow.
Menerusi klip video yang dikongsi di laman Instagram, pasangan suami isteri itu memaparkan duit raya anak-anak mereka yang bukan sahaja diterima dalam denominasi rupiah, malah dalam dolar Singapura dan dolar Amerika Syarikat.
Video tersebut turut memaparkan tangkapan skrin perbualan WhatsApp yang menunjukkan anak pertama Shandy dan Gilang iaitu Felis mendapat duit raya berjumlah 33 juta rupiah (RM9,697).
Manakala anak kedua mereka pula memperoleh duit raya sebanyak 32 juta rupiah (RM9,400).
Shandy kemudian berkongsi video berasingan yang menunjukkan dia membawa kedua-dua anaknya untuk menyimpan duit raya mereka di sebuah bank.
Menurutnya, jumlah keseluruhan duit raya pada tahun ini adalah sebanyak 100 juta rupiah (RM29,375).
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen dari netizen.
“Itu bukan duit raya, tetapi duit gaji saya selama lebih setahun,” kata seorang pengguna Instagram.
“Banyak betul duit raya anak orang. Anak saya dapat 200,000 rupiah (RM58.75) pun sudah Alhamdulillah,” kata netizen lain.