Seperti yang diketahui, politik Indonesia kini sedang memasuki tempoh berkempen bagi pemilihan Presiden yang bakal berlangsung pada 24 Februari tahun depan.
Bagaimanapun, di sebalik kehangatan tersebut, satu video di media sosial telah menjadi tular memaparkan insiden mengejutkan yang melibatkan salah seorang calon yang bersaing, iaitu Anies Baswedan.
Menerusi klip tersebut, Anies, yang juga merupakan bekas Gubernur Jakarta, dilihat ditampar oleh seorang lelaki ketika sedang berkempen di Pontianak, Kalimantan Barat, baru-baru ini.
Dalam video yang tular sejak Rabu, Anies yang memakai baju putih awalnya dilihat berjalan melalui satu kerumunan penyokongnya.
Namun, seorang lelaki misteri yang turut memakai kemeja-T daripada kumpulan penyokongnya kemudiannya secara tiba-tiba memberikan tamparan kepada wajah Anies.
Walaupun dikejutkan, Anies kekal tenang dan tersenyum sebelum terus berjalan selepas insiden tersebut.
Wakil Jurucakap pasukan Anies, Bakhtiar Ahmad Sibarani, berkata kejadian tersebut mungkin berlaku secara spontan dan bukan dirancang oleh mana-mana pihak untuk menyerang calon.
Bakhtiar menyatakan kejadian itu mungkin berlaku kerana keghairahan penyokong untuk menunjukkan sokongan sehingga menyebabkan tangan salah seorang daripadanya secara tidak sengaja terkena muka Anies.
“Soalannya, kita kena nilai dulu sama ada ini disengajakan atau tidak. Boleh jadi orang yang bersemangat ingin bersalaman dengan Encik Anies, tetapi sebaliknya tangan mereka secara tidak sengaja menyentuh muka Anies,” kata Bakhtiar.
Beliau turut berharap agar kejadian serupa tidak berulang sepanjang kempen Anies dan meminta penyokong agar menjaga tingkah laku mereka sebaik mungkin.
Selain Anies, dua calon lain yang bakal bersaing dalam pemilihan Presiden Indonesia 2024 ialah Jeneral Tentera Prabowo Subianto dan bekas Gubernur Jawa Tengah Ganjar Pranowo.
Calon presiden nomor urut satu, Anies Baswedan ditampar oleh seorang pria saat berkampanye di Pontianak, Kalimantan Barat. Video Anies saat ditampar tersebar di media sosial.https://t.co/yZCRamvpkd pic.twitter.com/ucjGw8Ax9f
— SERU.co.id (@Serucoid1) December 28, 2023