Cara yang betul jika mahu buang air dalam hutan – ‘benda mudah tapi ramai yang salah’.
Bagi mereka yang berminat dalam aktiviti luar, pastinya teruja untuk pergi mendaki gunung atau mandi sungai kerana dapat menikmati keindahan alam sambil melarikan diri sebentar daripada kesibukan kerja.
Apabila berada di hutan, pernahkah anda sedar bahawa sesetengah di antara kita mengamalkan adat untuk meminta izin daripada ‘atuk’ dan ‘nenek’ sebelum membuang air kecil di dalam hutan?
Katanya, ini adalah suatu adab yang perlu diikuti kerana kawasan tersebut kononnya mempunyai ‘penjaga’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Namun, mungkin ada juga yang terlepas pandang tentang adab dan prosedur sebenar cara membuang air kecil di dalam hutan.
Cara betul membuang air kecil dan besar dalam hutan
Oleh itu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Tuan Hutan (@tuan_hutan) di TikTok berkongsi tip dan mengajar cara bagaimana untuk membuang air kecil dan air besar di dalam hutan dengan ‘adab’ yang betul tanpa merosakkan alam.
Jelasnya, perkara tersebut adalah mudah untuk dilakukan, namun tidak ramai yang tahu, lebih-lebih lagi yang memilih untuk membuangnya berdekatan dengan sungai.
Menurut lelaki itu, orang ramai tidak digalakkan untuk membuang air kecil dan air besar di dalam sungai kerana boleh menjejaskan kesihatan diri.
“Yang pertama, jangan kencing berdekatan dengan air sungai dan yang kedua, jangan kencing selepas berendam.
“Hal ini kerana bakteria berpotensi untuk masuk ke dalam saluran kencing. Jika ingin kencing, buang di tempat yang berbatu, jangan terus di dalam air,” jelasnya.
Ujarnya, cara yang betul adalah dengan membuat atau mengorek lubang di tanah, kemudian kencing di tempat tersebut.
“Jika berada di tengah-tengah hutan, buat lubang kecil menggunakan tumit kaki dan kemudian cangkung untuk kencing.
“Selepas selesai, tutup lubang tersebut dengan daun-daun kering yang berada di sekeliling,” katanya.
Tambahnya, perkara tersebut adalah satu disiplin untuk membuang air kecil dan air besar di dalam hutan.
Mengulas lanjut, lelaki itu berkata orang ramai dilarang membuang air kecil di pokok-pokok dan lubang untuk mengelakkan merosakkan ekosistem binatang dan tumbuhan.
“Elakkan untuk membuang di perdu-perdu pokok dan lubang kerana ia berpotensi didiami oleh binatang seperti tikus, ular dan lain-lain.
“Seterusnya, sekiranya ternampak laluan semut pada kayu, elakkan untuk kencing pada serangga tersebut.
“Paling penting, baik di bandar atau hutan, jangan kencing kawan sendiri,” katanya mengakhiri video tersebut dengan nada berseloroh.
@tuan_hutan Part 2 : Ini adalah satu disiplin untuk membuang air kecil dan besar didalam hutan. Semoga bermanfaat #mejarfitri #tuanhutan #alamilahalam #ilmuhutan #hikingtiktok #tenteradarat #sniper #picnictiktok #kakikencing #berkelah ♬ original sound – TUAN HUTAN