Baru-baru ini, kontroversi melibatkan seorang usahawan yang menciplak produk Sambal Nyet milik pengaruh terkenal, Khairul Aming, telah mencetus kehebohan dan kesedaran mengenai isu penciplakan dalam industri perniagaan. Namun, kini giliran jenama tempatan yang terkenal, Christy Ng, mendapat perhatian kerana didakwa menciplak rekaan beg tangan dari sebuah jenama antarabangsa secara terang-terangan.
Christy Ng kini menjadi tumpuan di pelbagai platform media sosial kerana disyaki menciplak rekaan beg jenama GENTLEWOMAN, dan beg tersebut hampir 100% serupa, termasuk pemilihan warna. GENTLEWOMAN merupakan sebuah jenama fesyen dari Thailand yang semakin popular di kalangan anak muda kerana menawarkan produk yang trendy dan premium.
Walaupun mendapat kritikan sebelum ini, Christy Ng terus melancarkan koleksi terbarunya yang turut menciplak rekaan beg tangan dari jenama terkenal Thailand tersebut. Pengenalan beg terbaru mereka telah menarik perhatian ramai, namun disertai dengan kritikan terhadap kurangnya kreativiti dan identiti tersendiri dalam produk mereka.
Pengguna media sosial secara meluas telah mengkritik Christy Ng kerana sering menciplak hasil karya jenama terkenal untuk koleksi mereka. Sebahagian individu telah mengambil pendekatan memboikot jenama tersebut kerana merasakan ketiadaan kreativiti atau identiti yang unik dalam produk-produk mereka.
Sebelum ini, Christy Ng juga dikritik kerana koleksinya yang didakwa menciplak rekaan beg dari jenama terkemuka seperti Christian Dior, Louis Vuitton, dan Goyard.
“Makin lama makin hilang hormat dengan Christy Ng. Dulu mereka mempunyai rekaan signature tersendiri. Sekarang main rembat je rekaan orang lain,” luahan seorang pengguna di Twitter mencerminkan kekecewaan terhadap kurangnya originaliti dalam rekaan beg baru mereka.
“Come on @christyngshoes.. where is your integrity?” luahan seorang lagi pengguna yang tidak berpuas hati dengan kurangnya ketelusan Christy Ng dalam mencipta koleksi mereka.
“Hm entahlah sebab banyak sangat yang tiru. Malu pula nak beli dan pakai,” kongsi seorang pengguna di TikTok, menyatakan keengganan beliau untuk menyokong jenama tersebut.
Sementara itu, ada individu yang menyindir tindakan designer dari Christy Ng kerana mengambil jalan mudah dengan menciplak idea karya orang lain tanpa rasa serba salah. Isu ini turut menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap jenama tempatan ini.
Copyright. Brand ni copy exactly design brand besar besar cuma tukar nama je la. pic.twitter.com/mJv2m1BqWt
— Bbie. (@twtbiy) December 28, 2023