Cikgu kaunseling kantoi dengan guru besar, jumpa koleksi video tak senonoh murid dan anak sendiri.
Seorang guru kaunseling di sebuah sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan, telah ditahan selama tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap murid lelakinya.
Perbuatan lelaki berusia 43 tahun itu terbongkar selepas penemuan beberapa video lucah yang dipercayai dirakam oleh suspek semasa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa.
Menurut sumber, turut ditemui rakaman perbuatan terkutuk terhadap anak lelakinya sendiri yang didakwa berlaku di rumah mereka.
“Guru besar sekolah terbabit telah membuat laporan polis pada 5 Disember lalu berhubung penemuan beberapa kandungan video lucah yang menunjukkan gangguan seksual yang dilakukan oleh suspek terhadap murid.
“Difahamkan turut dijumpai video yang memaparkan perbuatan salah laku seksual guru terbabit terhadap anak lelakinya sendiri,” katanya pada Rabu.
Guru lelaki itu telah direman oleh Mahkamah Majistret, Seremban, pada pagi Rabu bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kes berkenaan dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.