Seorang wanita di China meluahkan kemarahannya selepas dikenakan bayaran sebanyak RM8,500 untuk tempat letak keretanya yang hanya digunakan selama 40 minit. Kemarahan wanita itu bertambah apabila proses pengembalian wang mengambil masa yang lama.
Menurut laporan Autopro, insiden tersebut berlaku selepas wanita yang dikenali sebagai Zhou melakukan belanjaan di pusat membeli-belah dan meletakkan keretanya di kawasan letak khusus, Changning International Parking Lot.
Setelah menyelesaikan belanjaan dan ingin pulang, Zhou terkejut mendapati notifikasi pembayaran digital di telefonnya yang memberitahu bahawa bayaran sebanyak 13,120 Yuan atau kira-kira RM8,500 telah dikenakan kepadanya.
“Padahal, bayaran untuk tempat letak selama satu jam di gedung itu hanya 10 Yuan,” kata Autopro.
Menyedari ada yang tidak kena, Zhou memutuskan untuk kembali ke tempat dia meletakkan keretanya. Dia segera memberitahu kakitangan yang bertugas ketika itu tentang masalah yang dihadapinya.
Beruntung bagi Zhou, kakitangan yang bertugas sangat membantu. Mereka kemudian menyemak rakaman CCTV untuk menentukan berapa lama keretanya telah diletakkan.
Selepas pemeriksaan melalui CCTV, ternyata kereta Zhou hanya berada di tempat letak selama 40 minit.
Pegawai tersebut mengesahkan bahawa kesilapan telah berlaku pada mesin pengimbas nombor plat kereta, menyebabkan bayaran tempat letak kereta menjadi lebih mahal. Mereka juga memberikan jaminan kepada Zhou bahawa wangnya akan dikembalikan.
Walau bagaimanapun, Zhou masih perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan wangnya.
“Pengurus bangunan tempat letak kereta perlu menjalankan proses yang panjang sebelum wang dapat dikembalikan,” jelas Autopro.
Walaupun kesabarannya diuji dengan proses yang panjang, Zhou tidak mempunyai pilihan selain menunggu pengembalian wangnya.