Perbicaraan kes pendakwah terkenal Ebit Lew masih berlanjutan, dan dalam perkembangan semalam, saksi kelapan memberitahu mahkamah bahawa terdapat 90 gambar dan 3 video berunsur lucah ditemui dalam data yang diekstrak daripada telefon bimbit milik pendakwah tersebut.
Dari 90 gambar tersebut, sebanyak 17 gambar kemaluan lelaki ditemui dalam data yang disimpan dalam sebuah pemacu kilat. Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching, yang merupakan saksi kelapan dalam kes ini, menyatakan bahawa beliau tidak dapat memastikan pemilik sebenar gambar kemaluan tersebut.
Peguam bela, Datuk Ram Singh, bertanya kepada saksi bagaimana beliau dapat mengenal pasti pemilik 17 gambar kemaluan lelaki tersebut.
“Saya kenal pasti itu gambar kemaluan lelaki tetapi saya tidak tahu ia milik siapa,” jawab Chang Ching.
Saksi juga menolak dakwaan peguam bahawa beliau sengaja hendak memalukan Ebit dengan mengekstrak atau mengeluarkan 17 gambar tersebut, walaupun tidak dapat mengenal pasti siapa pemilik gambar tersebut.
Chang Ching turut menyatakan bahawa 17 gambar yang diekstrak dari telefon bimbit tertuduh tidak mengandungi sebarang mesej perbualan.
Sebagai catatan, Ebit, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, dihadapkan dengan sebelas pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara bulan Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.