Seorang wanita suku Tarahumara dari Chihuahua, utara Mexico, bernama Rita Patino Quintero, terpaksa menghabiskan 12 tahun hidup di hospital mental di Amerika Syarikat (AS).
Kisah tragis ini bermula pada tahun 1983 apabila Rita ditemui dalam keadaan kelaparan di bawah sebuah gereja di Kansas. Seorang paderi yang menemui Rita melaporkannya kepada polis kerana dia berpakaian lusuh dan kelihatan bingung.
Pihak polis cuba berkomunikasi dengannya, tetapi Rita hanya boleh bercakap dalam bahasa suku kaumnya, yang tidak difahami oleh pihak berkuasa.
Keadaan ini menyebabkan dia disalah anggap sebagai orang tidak siuman dan didiagnosis mengalami skizofrenia.
Akibatnya, Rita dimasukkan ke hospital mental dan dipaksa mengambil ubat untuk penyakit mental yang sebenarnya tidak dia alami.
Kisah Rita Dijadikan Dokumentari Berjudul “The Woman of Stars and Mountains”
Kisah Rita telah menjadi bahan dalam sebuah filem dokumentari berjudul “The Woman of Stars and Mountains” yang diterbitkan oleh Santiago Esteinou pada April 2024.
Difahamkan, pembuatan dokumentari ini melibatkan penyelidikan arkib dan wawancara mendalam.
Menurut Esteinou, ‘hukuman’ yang dihadapi oleh Rita sebahagiannya disebabkan oleh kesilapan penterjemah.
“Pihak berkuasa membawa masuk seorang penterjemah yang tidak dapat memahami bahasa Rita, namun dia menyimpulkan bahawa kata-kata Rita ‘tidak masuk akal’, yang akhirnya menyebabkan dia dihantar ke hospital mental.
“Keputusan ini memaksa Rita tinggal di sana selama 12 tahun tanpa memahami mengapa dia berada di sana. Rita akhirnya dibebaskan dan dipulangkan ke Mexico pada tahun 1995 setelah kesnya diperjuangkan oleh sebuah pertubuhan hak asasi orang kurang upaya pada 1994,” katanya.
Penyelidikan Tentang Identiti Sebenar Rita
Dokumentari tersebut turut mendalami identiti sebenar Rita dan bagaimana dia boleh meninggalkan kampung halamannya seorang diri sebelum ditemui di AS.
Esteinou berkata, Rita sebenarnya berasal dari keluarga berada dan mempunyai seorang anak lelaki di kampungnya.
“Namun, semuanya berubah pada suatu hari apabila dia dituduh mencuri dan membunuh suaminya – dakwaan oleh penduduk kampungnya yang tidak pernah dapat dibuktikan.
“Dia kemudian dipulaukan dan merempat bersama anak lelakinya. Dia didakwa gila dan anaknya dirampas. Dia kemudian membawa diri keluar jauh dari kampungnya,” katanya yang mengakui tidak tahu bagaimana Rita boleh sampai ke Kansas.