Gurauan membawa padah, penjawat awam bakal hilang kerja gara-gara nak menang pertelingkahan isu salah laku pegawai KKM.
Pengguna media sosial selalu diingatkan untuk tidak menyalahgunakan platform itu dengan perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain. Namun, masih ada yang tidak mengendahkan peringatan itu.
Baru-baru ini tular mengenai seorang penjawat awam yang berdepan dengan tindakan undang-undang gara-gara tindakannya memuat naik komen berunsur ugutan sehingga menyebabkan individu terbabit membuat laporan polis terhadapnya.
Nak menang pertengkaran di Facebook berhubung isu salahlaku pegawai KKM
Saya terlibat dalam pertengkaran dalam satu page Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook. Saya percaya mangsa adalah pegawai kesihatan.
Untuk menang pertengkaran, saya telah membuat ugutan bunuh dan rogol terhadap mangsa. Ini bukan pertama kali, sudah banyak kali saya buat di page lain. Tetapi ini sekadar gurauan dan tidak menyangka perkara ini menjadi serius.
Ayat saya berbunyi begini: “Takpe sayang, nanti I pergi Hospital Perlis (tempat mangsa bertugas berdasarkan profil Facebook), I nak main-main, manja, nak hisap, rogol kuat-kuat dan bunuh dan buang kat Siam”.
Saya tulis semata-mata untuk mendiamkan dia. Kami bertengkar tentang kes salahlaku kakitangan KKM. Selepas itu tiada lagi komen daripada dia.
Dipanggil polis susulan mangsa buat laporan
Awal Ogos, saya telah dihubungi oleh seorang pegawai polis untuk hadir ke IPD Johor yang memaklumkan ada laporan dibuat terhadap saya. Saya hadir dan diambil keterangan.
Sembang macam biasa dalam bilik siasatan dan saya mengaku ada membuat komen tersebut atas dasar bergurau. Saya langsung tidak mengenali mangsa. Dia di Perlis dan saya pula di Johor. Takkan saya nak ke sana? Tak pernah ke Perlis pun seumur hidup.
Pegawai Penyiasat itu pun gelak-gelak masa itu, kami berbual seperti kawan. Kemudian dia minta saya tulis semua kenyataan saya dan tandatangan pengakuan saya.
Saya direman dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Telefon, laptop, iPad dan modem diambil. Tidak beberapa lama kemudian saya dibebaskan dan barulah saya sedar bahawa ini adalah kesalahan serius.
Cuba hubungi mangsa untuk minta maaf tetapi…
Saya penjawat awam. Isteri saya sangat marah. Kami ada enam orang anak. Anak sulung berusia 17 tahun, dia sangat marah sehingga tulis status di WhatsApp mengatakan dia tidak mahu ada ayah seperti saya. Saya buntu, nak upah peguam, saya tiada duit. Isteri dan keluarga juga enggan membantu.
Disebabkan saya buntu, saya buka satu akaun Facebook baharu dan mesej mangsa dan suaminya. Tetapi saya terus diblock.
Kemudian saya terjumpa Facebook seorang wanita yang dipercayai kakak ipar mangsa. Saya hantar mesej yang mengajaknya berjumpa dan menyatakan saya boleh hadir ke tempat kerjanya.
Saya juga ada WhatsApp dan menghubunginya beberapa kali atas sebab nak meminta dia memujuk mangsa (menarik balik laporan). Akan tetapi, wanita itu membuat laporan polis terhadap saya.
Sekali lagi dipanggil polis atas tuduhan menghendap
Saya sekali lagi dipanggil polis untuk beri keterangan. Saya mengaku sekali lagi tetapi atas niat mahu berbincang supaya laporan pertama ditarik balik. Pegawai penyiasatt meminta saya tandatangan kenyataan saya.
Rupa-rupanya saya disiasat di bawah jenayah menghendap. Tetapi saya tidak menghendap atau mengganggu dia, saya hanya mengajak wanita itu untuk berbincang. Saya rasa saya telah diperdaya oleh pegawai penyiasat.
Saya menghubungi pihak pegawai penyiasat, mereka kata saya sendiri yang mengaku dan bukti juga ada. Mereka minta saya rujuk ke Biro Guaman. Tetapi Biro Guaman enggan menerima kes saya dan mereka meminta saya mencari peguam swasta.
Bakal hilang pekerjaan
Soalan saya, adakah saya boleh lawan kes ini dan tidak dipenjara atau disabit kesalahan? Sebab saya sudah mengaku bersalah berserta bukti untuk kedua-dua kes. Kalau dah tak boleh lawan, apa yang boleh saya lakukan?
Kalau saya didakwa dan penjara, saya akan hilang pekerjaan sebab saya penjawat awam. Keluarga pun akan benci saya. Mentua saya sangat marah, anak-anak pun dah tak mahu bercakap dengan saya. Makan sekali pun dah tak mahu.
Saya sudah cuba meminta maaf kepada mangsa pertama, tetapi saya diblock. Sedangkan saya anggap gurauan, saya memang tidak mengenali beliau.
Saya memang tiada duit nak melantik peguam jenayah swasta sebab bayar dua loan rumah dan kereta. Berapa anggaran harga untuk kes-kes jenayah di atas? Boleh bayar ansuran ke? Ketua Jabatan saya cakap boleh beri loan sebanyak RM15,000.
Tiada rasa menyesal, masih anggap ayat itu sekadar gurauan
Sementara itu di media sosial, netizen menyifatkan perbuatan lelaki itu keterlaluan sehingga melemparkan kata-kata berunsur ancaman dan ugutan. Tiada satu pun daripada ayat-ayat tersebut yang boleh dianggap sebagai gurauan.
“Walaupun kes dah jadi berat, dia tetap rasa ayat-ayat yang dilemparkan itu sekadar gurauan. Tak ada rasa menyesal lagi, tak nampak dia rasa bersalah pada ayat dia,” kata Artsya.
“Apa perasaan dia kalau ada lelaki yang buat ayat gurauan seperti itu terhadap isteri atau anak perempuan dia?” kata Hazelnut.
Netizen dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang, bersifat ancaman atau ugutan kepada orang lain. Gunakanlah media sosial secara berhemah dan fahami batasan bersuara di media sosial.