Seorang budak lelaki di bandar Guang’an, wilayah Sichuan, memberikan jongkong emas bernilai 106,000 yuan (RM69,197) kepada seorang kanak-kanak perempuan di kelas prasekolahnya sebagai hadiah ‘pertunangan’.
Kejadian tersebut menjadi viral apabila gadis kecil itu menunjukkan dua jongkong emas seberat 100 gram kepada ibu bapanya setelah pulang ke rumah.
Rakaman kejadian memaparkan gadis itu memegang sebuah kotak berwarna merah yang berisi jongkong emas tersebut.
Ibu bapa budak perempuan tersebut kemudian menyuruh anak mereka untuk mengembalikan hadiah tersebut pada keesokan harinya. Mereka turut menghubungi keluarga budak lelaki tersebut.
“Ibu bapa budak lelaki tersebut memberitahu bahawa jongkong emas itu disimpan untuk bakal isterinya di masa hadapan. Mereka tidak menyangka dia akan mengambilnya secara rahsia dan memberikannya kepada anak kami,” kata ibu gadis itu.
Dia mengingatkan kepada ibu bapa lain untuk berwaspada agar perkara sedemikian tidak berlaku kepada anak-anak mereka.