Seorang ibu dan anaknya menjadi viral di media sosial kerana dituduh berpura-pura sakit demi mendapatkan bantuan di sebuah hospital di Jakarta, lapor akhbar Tribun Jabar semalam.
Menurut seorang pengguna TikTok yang menggunakan akaun @telimsartan pada Isnin lepas, dia dan rakan Suherna datang meminta bantuan untuk menempah perkhidmatan teksi dalam talian.
Suherna memberitahu pengguna itu bahawa anaknya, Rizal baru sahaja menjalani pembedahan jantung dan kini mengalami kegagalan buah pinggang serta kanser di kepala.
“Ibu Suherna berkata selepas pembedahan, anaknya memerlukan kerusi roda supaya lebih mudah untuknya bergerak.
“Salah seorang pesakit memberi wang tunai 300 ribu rupiah (RM89.47) agar Rizal boleh membeli kerusi roda kedua,” kata pengguna TikTok itu dalam video tersebut.
Melihat keadaan Rizal yang teruk, pengguna TikTok itu menganjurkan kutipan derma untuk mendapatkan kerusi roda yang lebih baik.
Namun, pengguna itu terkejut apabila melihat anaknya yang baru menjalani pembedahan dan didakwa menghidap kanser boleh berlari seperti orang sihat.