Ibu terkilan tengok badan anak berusia 13 bulan lebam kebiruan, terkejut dapat tahu bibik keruk guna syiling untuk buang angin.
Pernahkah anda mendengar tentang kaedah membuang angin dalam badan menggunakan kerukan duit syiling? Tidak pasti siapakah yang mula-mula mencipta cara ini, namun sejak dulu lagi ramai percaya teknik ini akan ‘membuka’ liang-liang kulit dengan andaian angin akan keluar dari situ sekaligus meringankan badan.
Tengah penat balik kerja, tengok anak kebiruan…Bibiknya keruk sampai begini
Namun siapa sangka, baru-baru ini seorang bayi berusia 13 bulan mengalami kesan kebiruan dan lebam-lebam di badan setelah menerima kaedah kerukan berkenaan. Menerusi TikTok, Puan Tia Rochman mendedahkan perbuatan itu dilakukan oleh seorang pembantu rumahnya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Padahal di rumah, dia sudah menyediakan bekalan ubat mencukupi untuk rawatan tahap awal.
Bibik terus minta maaf…Katanya jam 11 pagi Baim tiba-tiba merengek kembung perut
Ketika hari kejadian, Baby Ibrahim dikatakan mula merengek seperti tidak selesa, keluar peluh sejuk dan didapati mengalami kembung perut. Oleh kerana bibik itu sudah biasa mengeruk anak sendiri dengan syiling sejak dulu, maka dia melakukan rawatan sama ke atas Ibrahim dengan niat mengurangkan angin dalam badan.
Namun, kesan merah serius yang muncul pada badan Baim cukup meluluhkan hati Puan Tia sebagai ibu kandung.
Semua ni jadi sebab bibik risau…Tiada niat jahat
Walau bagaimanapun, dia tidak menyalahkan bibiknya 100% apalagi niat asal wanita itu sebenarnya sangat baik. Untuk mengelakkan perkara sama berulang di masa hadapan, Puan Tia sudah memasang CCTV dalam rumah untuk pantauan dari jauh. Apa yang terjadi ini diharapkan dapat menjadi pengajaran buat orang di luar sana.