India bakal mencipta sejarah dan mendahului kuasa-kuasa besar, rancang untuk ‘melawat’ matahari.
India baru-baru berjaya melakar sejarah apabila rover Chandrayaan-3 yang dihantarnya berjaya mendarat di Bulan pada Rabu lepas. Lebih manis, negara itu juga menjadi negara pertama yang mendarat di kawasan kutub selatan Bulan.
Kejayaan itu menyaksikan India muncul sebagai negara keempat, selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China yang berjaya sampai di permukaan ‘jiran’ terdekat Bumi itu.
Tidak berhenti di situ, India kini bakal ‘melawat’ Matahari pula apabila probe solar pertamanya, Aditya-L1 dijadualkan akan dilancarkan pada 2 September ini.
Aditya dalam bahasa Sanskrit bermaksud Matahari dan L1 pula merujuk kepada lokasi dimana probe berkenaan akan menjalankan misinya.
Menurut Space.com, rancangan berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Organisasi Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) melalui platform X, pada 28 Ogos.
Selepas ke Bulan, India rangcang mahu ‘ke’ Matahari pula
Probe solar berkenaan akan dibawa oleh Kenderaan Pelancar Satelit Polar yang akan berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Satish Dhawan, di Sriharikota.
Pelancaran berkenaan juga akan disiarkan secara langsung oleh ISRO. Misi menghantar probe solar ini dilapor menelan belanja sebanyak USD 45 juta.
Aditya-L1 dijadualkan terlebih dahulu menuju ke orbit rendah Bumi. Pada ketinggian tersebut, pasukan misi di Bumi akan memeriksa pelbagai sistem dan teknologi pada probe berkenaan.
Sekiranya tiada masalah dikesan, Aditya-L1 secara perlahan-lahan akan meninggalkan orbit berkenaan dan sehingga tidak terikat lagi dengan graviti Bumi.
Seterusnya, probe berkenaan akan menuju ke posisi Lagrange Point 1 Bumi-Matahari, satu lokasi stabil secara graviti pada jarak kira-kira 1.5 juta kilometer dari Bumi.
Jarak berkenaan adalah kira-kira empat kali ganda lebih jauh daripada jarak antara Bumi dengan Bulan. Aditya L1 dijangka memerlukan masa selama empat bulan untuk tiba di L1 sebaik sahaja dilancarkan dari Bumi.
Apabila berada pada L1, probe berkenaan akan mula mengkaji matahari menggunakan tujuh instrumen sains yang dipasang padanya. Contohnya, data yang dibekalkan oleh Aditya-L1 dapat membantu saintis memahami dinamik solar flare dengan lebih mendalam. Selain itu, saintis juga dapat mengkaji fenomena letusan superhot solar plasma yang dikenali sebagai coronal mass ejections.
Misi yang digalas Aditya-L1 juga dijangka mampu menjawab persoalan mengapa atmosfera paling luar Matahari, yang dikenali sebagai korona lebih panas berbanding permukaan Matahari.