Individu tampil buka mulut isu Ustaz Azhar Idrus kenakan caj sebanyak RM40,000 untuk program agama.
Seorang penceramah bebas telah memberikan penjelasan untuk membantah fitnah yang dilemparkan terhadap pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Hafiz Al Za’farani dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa terdapat individu yang memfitnah Ustaz Azhar Idrus, atau lebih dikenali sebagai UAI, dengan tuduhan mengenakan caj ceramah agama sehingga RM40,000.
“Usaha untuk menggambarkan UAI sebagai penceramah selebriti yang mengenakan caj mahal adalah satu perbuatan yang jijik.
“Saya pernah menjadi penganjur program bersama UAI. Beliau dan pembantu peribadi tidak pernah menyebutkan sebarang harga.
“Jika ditanya, biasa-biasa orang bagi berapa, mereka tetap menjawab tiada ketetapan harga. Terpulang kepada penganjur,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, Hafiz turut memuat naik satu tangkap layar yang memaparkan berita palsu daripada sebuah portal yang mendakwa UAI menerima caj ceramah agama sehingga RM40,000.
Hafiz menambah bahawa UAI juga akan menguruskan sendiri perkara berkaitan penerbangan dan penginapan ketika dijemput untuk menyampaikan ceramah agama.
“Ini adalah zaman di mana manusia menghalalkan fitnah untuk tujuan peribadi. Semoga kita semua dilindungi,” katanya.
Sebelum ini, UAI menerima kritikan daripada pengguna media sosial selepas potongan klip video ceramahnya menjadi viral.
Dalam klip video tersebut, UAI mendakwa ada pemimpin besar yang ‘jahil, keliru, dan menyesatkan’. Sebagai respons, pengguna media sosial percaya kenyataan tersebut merujuk kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi yang disentuh sewaktu Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.
Anwar dalam kenyataan lainnya juga menegur golongan pendakwah yang terburu-buru membuat kenyataan tanpa menyemak konteks ucapannya mengenai kisah ‘Ashabul Kahfi’. Tanpa menyebutkan nama, Anwar mengingatkan penceramah tersebut untuk tidak mengikut sentimen politik selain meneliti dahulu sebelum memberi sebarang ulasan.