Ingin elak diri dari bertemu dengan wanita, lelaki dari Afrika sanggup kurung diri dalam rumah selama 55 tahun.
Seorang lelaki Afrika menjadi perhatian warganet apabila dia dikatakan sudah 55 tahun sanggup berkurung di dalam rumah kerana mahu mengelakkan dirinya dari bertemu dengan wanita.
Memetik laporan Oddity Central, Calitxe Nzamwita yang kini berusia 71 tahun mula mengasingkan dirinya agar tidak berjumpa kaum Hawa sejak dirinya berusia 16 tahun lagi.
Ini kerana dia berasa tidak selesa untuk berada berdekatan perempuan, apatah lagi untuk bercakap dengan wanita.
Rumahnya dipagari dengan pagar kayu yang berketinggian 15 kaki agar tiada wanita yang boleh memasuki rumahnya.
Selain itu, dia turut mengakui bahawa dia takut dengan kaum Hawa.
Walau bagaimanapun, jiran-jirannya terdiri daripada kaum Hawa dan wanita-wanita ini tetap membantunya dengan cara memberinya makanan dan barang-barang dapur.
Jiran-jirannya akan meletakkan barang-barang tersebut di depan rumahnya, dan apabila mereka beredar, barulah Calitxe akan keluar untuk mengambil barang-barang berkenaan.
Difahamkan juga, jika ada wanita yang mendekati kawasan halaman rumahnya, Calitxe juga akan cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
Walaupun dia tidak pernah didiagnos oleh pakar, namun dia dipercayai bersikap demikian kerana menghidap masalah psikologi yang dipanggil gynophobia iaitu rasa takut kepada wanita.