JebatDerhaka

Ini maksud sebenar bandung dan belanda yang digunakan untuk durian dan mi yang ramai salah erti

Ini maksud sebenar bandung dan belanda yang digunakan untuk durian dan mi yang ramai salah erti.

Bahasa kita mempunyai kekayaan yang pelbagai dalam kata-kata dan makna. Terkadang, jika kita tidak mendalami ilmu bahasa, makna sesetengah perkataan boleh menjadi keliru.

Terdapat perkataan yang sering digunakan dalam nama makanan, binatang, atau benda, tetapi tidak ramai yang mengetahui makna sebenarnya. Terutamanya, ia sering dikelirukan dengan nama tempat atau negara.

Contohnya, perkataan “bandung” dalam nama makanan mi bandung dan minuman sirap bandung. Banyak yang menganggapnya merujuk kepada nama tempat, Bandung di Indonesia.

Sama juga dengan nama buah, durian belanda. Adakah ia merujuk kepada negara Belanda?

Ini maksud sebenar bandung dan belanda yang digunakan untuk durian dan mi yang ramai salah erti

Semoga maklumat ini memberikan manfaat dan meningkatkan minat anda terhadap ilmu bahasa, terutamanya bahasa Melayu.

Bandung

Ini maksud sebenar bandung dan belanda yang digunakan untuk durian dan mi yang ramai salah erti

Apabila kita menyebut bandung, ramai yang teringat pada nama tempat di Indonesia, iaitu Bandung yang terletak di wilayah Jawa Barat.

Menurut Pejabat Pengelola Informasi dan Dokumentasi (PPID) Kota Bandung, ada dua pendapat mengenai asal-usul nama ibu kota Jawa Barat ini.

Pertama, ia mungkin berasal dari kata “bendung” atau “bendungan”. Dikatakan, sebelum wujudnya pemerintahan kabupaten Bandung, kawasan itu adalah sebuah danau yang dinamakan Danau Bandung, terbentuk apabila air dari Sungai Citarum terbendung oleh lava Gunung Tangkuban Perahu. Setelah air surut, kawasan tersebut dijadikan penempatan, iaitu kabupaten Bandung.

Pendapat kedua, menyebutkan bahawa perkataan Bandung diambil daripada kenderaan air yang digunakan oleh bupati (ketua kabupaten) Bandung yang bernama Raden Adipati Wiranatakusumah II untuk melayari Sungai Citarum. Kenderaan itu dibuat daripada dua perahu yang diikat bersama, digelar perahu bandung.

Secara konsensus, bandung bermaksud dua benda yang dirangkaikan atau dipasangkan. Ini juga maksud bandung yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Jadi, apabila kita menyebut air sirap bandung atau mi bandung, ia bukan bermaksud makanan itu berasal dari kota Bandung, tetapi kerana ia dibuat dengan menggunakan dua atau lebih bahan. Sirap itu menjadi sirap bandung kerana proses pembuatannya membandingkan air sirap dengan susu.

Pakar bahasa, Profesor Emeritus Abdullah Hassan, juga menyatakan bahawa bandung bermaksud campur atau gabung. Oleh itu, kita panggil mi bandung kerana kuahnya dicampur dengan pelbagai bahan seperti sayur, udang, telur, daging, dan sebagainya.

Perkataan bandung juga ditemui dalam nama benda lain, seperti dapur bandung (dapur kembar), ayam bandung (dua anak ayam yang keluar dari satu telur yang sama), dan rumah bandung (dua buah rumah yang bersambung menjadi satu).

Belanda

Ini maksud sebenar bandung dan belanda yang digunakan untuk durian dan mi yang ramai salah erti

Belanda juga awalnya merupakan nama tempat. Terdapat banyak pandangan mengenai asal-usul nama Belanda, sedangkan negara itu lebih dikenali sebagai Netherland atau Holland di Barat.

Ada yang mengatakan ia berasal dari sebutan Portugis, iaitu Holanda. Ada juga pendapat yang mendakwa ia datang dari sebutan bahasa Inggeris untuk orang Holland, iaitu Hollander. Pandangan lain mendakwa ia datang dari warna rambut orang Belanda, iaitu blonde.

Satu lagi teori yang menarik menyatakan bahawa pada abad ke-17, terdapat perbincangan di kalangan ulama di Palembang. Mereka menegaskan bahawa orang Melayu perlu menolak hasutan bangsa asing yang suka memecah belah. Menurut bahasa ketika itu, tindakan memecah belah disebut “belah nde” (belah – memecah, nde – keluarga). Lama-kelamaan, bangsa asing itu digelar Belanda.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi Belanda hanya merujuk kepada negara Belanda. Namun, menurut Abdullah Hassan, dalam bahasa dan budaya Melayu, belanda bermaksud tipu atau tidak benar. Oleh itu, buah yang kelihatan seperti durian tetapi bukan durian dipanggil durian belanda (soursop). Rodensia yang kelihatan seperti tikus tetapi bukan tikus dipanggil tikus belanda (guinea pig).

Begitu juga dengan ayam belanda (turkey), isteri belanda (bantal peluk), dan janji belanda (janji palsu).

BACA:
Keajaiban berlaku kepada pasangan ini, bayi 4 bulan diterbangkan puting beliung selamat atas pokok
Ini rupanya sebab-sebab kenapa lelaki Bangladesh suka berpegangan tangan sesama jantina
Wanita diperkosa pemandu bas ketika perjalanan menuju destinasi dalam kabin