Banyak pengangkutan yang tersedia pada hari ini boleh digunakan untuk ke mana-mana, termasuk perjalanan ke sekolah.
Jika jarak antara rumah dan sekolah agak jauh, kebiasaannya ibu bapa akan menggunakan kereta untuk menghantar dan menjemput anak-anak mereka.
Bagaimana jika ibu bapa menghadapi kesukaran dan tidak mampu untuk menghantar serta menjemput anak setiap hari?
Di sinilah perkhidmatan bas sekolah menjadi pilihan pengangkutan yang baik.
Secara amnya, bas sekolah akan mengambil dan menjemput murid untuk pulang ke rumah sebaik sahaja waktu sekolah berakhir.
Bahkan, bas sekolah hari ini telah menjadi kenderaan yang ikonik dengan warna tradisionalnya, kebanyakannya berwarna kuning.
Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, warna kuning pada bas sekolah tidak sama dengan warna kuning pisang yang masak.
Sebaliknya, warna kuning yang dipilih seakan-akan lebih mirip dengan warna buah manga.
Selain itu, warna yang serupa dengan bas sekolah ini juga sering disebut sebagai ‘kuning bas sekolah’ untuk membantu pembaca membayangkan warnanya.
Meskipun begitu, adakah anda pernah terfikir mengapa warna kuning dipilih sebagai warna cat luaran bas sekolah?
Pemilihan warna ‘kuning bas sekolah’ bukan sahaja untuk tujuan identifikasi semata-mata.
Sebaliknya, pemilihan warna ini pada peringkat awal berkait rapat dengan faktor keselamatan.
Pada tahun 1939, Dr. Frank W. Cyr telah mengadakan satu persidangan untuk menetapkan standard peraturan bagi bas sekolah di Amerika Syarikat (AS).
Dalam persidangan tersebut, warna kuning keorenan dipilih sebagai warna standard bagi bas sekolah di negara tersebut dan dikenali sebagai National School Bus Chrome.
Seperti yang kita sedia maklum, papan tanda berhenti dan lampu isyarat berhenti menggunakan warna merah untuk menarik perhatian pengguna jalan raya.
Selain daripada merah, warna kuning juga merupakan salah satu warna yang cepat menarik perhatian manusia.
Contohnya, apabila anda melihat secara tegak ke hadapan, objek berwarna kuning akan kelihatan pada hujung penglihatan, walaupun tidak terletak di pandangan terus mata.
Hujung penglihatan ini juga dikenali sebagai medan periferi atau peripheral field.
Kajian saintifik menunjukkan bahawa manusia dapat melihat objek kuning dalam medan periferi 1.24 kali ganda lebih baik daripada warna merah.
Tidak hanya itu, warna kuning juga lebih mudah dikenali di dalam keadaan gelap berbanding dengan warna merah.
Dengan itu, warna ini dianggap sebagai warna yang paling sesuai untuk bas sekolah.
Garisan dan tulisan hitam pada dinding bas sekolah adalah kombinasi terbaik antara kedua-dua warna tersebut.
Kombinasi hitam/kuning keorenan dikatakan sebagai warna yang paling mudah dikenali oleh pemandu kenderaan, terutamanya pada waktu pagi.
Dengan itu, apabila pemandu melihat bas sekolah berwarna tersebut, mereka akan dengan cepat sedar tentang kehadiran bas sekolah yang mungkin membawa pelajar dan akan memandu dengan lebih berhati-hati.