Inilah dia pejabat pos paling tua di Malaysia, berumur hampir 100 tahun

Apabila melalui kawasan Kuala Selangor, anda mungkin akan terjumpa salah satu bangunan kayu berwarna putih di tepi jalan. Pada pandangan pertama, anda mungkin menganggap bangunan itu adalah rumah yang didiami oleh penduduk tempatan.

Tetapi, jika diperhatikan dengan lebih teliti, bangunan tersebut sebenarnya bukanlah rumah biasa yang didiami oleh penduduk kawasan tersebut. Bangunan tersebut mempunyai papan tanda Pos Malaysia di hadapannya, menandakan bahawa ia adalah sebuah pejabat pos.

Apa yang menjadikan bangunan ini lebih unik lagi adalah fakta bahawa ia merupakan pejabat pos tertua di negara kita. Berdasarkan laporan SelangorTV pada tahun lepas, Pejabat Pos Bukit Rotan di Kuala Selangor telah diiktiraf sebagai pejabat pos tertua di Malaysia.

Bangunan antik ini yang bersaiz kecil dan berwarna putih susu dilaporkan telah dibina pada tahun 1926, hampir 98 tahun yang lalu. Yang menariknya, pejabat pos ini masih mengekalkan struktur dan bentuk asal sejak awal pembinaannya pada tahun 1920-an.

Selain itu, bangunan bersejarah ini turut menggamit nostalgia dengan hiasan ukiran klasik yang serupa dengan rumah tradisional orang Melayu. Penduduk tempatan berharap agar reka bentuk asal bangunan bersejarah ini dapat dikekalkan untuk tatapan orang ramai.

Inilah dia pejabat pos paling tua di Malaysia, berumur hampir 100 tahun

Walaupun telah berusia hampir seabad, pejabat pos ini masih beroperasi sehingga hari ini. Ia masih menerima urusan berkaitan pos seperti penghantaran bungkusan, pembelian setem, dan sebagainya.

Pintu pagar pejabat pos dibuka seawal 8.30 pagi oleh petugas Pos Malaysia untuk melayani permintaan perkhidmatan pos di kawasan tersebut. Pejabat ini beroperasi selama lima hari seminggu, dari hari Isnin hingga Jumaat, dan menutup operasi pada jam 5.30 petang.

Salah satu keunikan pejabat pos ini adalah mereka tidak menggunakan sistem bernombor seperti kebanyakan pejabat pos lain. Walaupun begitu, para pelanggan yang datang ke pejabat ini dilaporkan merasa selesa menunggu di ruang yang disediakan.

Menurut laporan SelangorTV, Pejabat Pos Bukit Rotan biasanya menerima kunjungan kira-kira 30 hingga 50 orang setiap hari, terutamanya sewaktu awal bulan.

BACA:
Arab Saudi perkenal kad nusuk untuk para jemaah, perlu dibawa ketika menunaikan haji bermula tahun ini
Kenapa perlu postmortem kalau dah tahu punca kematian? Doktor ini dedah jawapan yang perlu orang ramai tahu
Bukan kaleng-kaleng yang bagi, kanak-kanak terima duit raya RM29,000 guna dolar Singapura dan Amerika Syarikat