Baru-baru ini, satu video yang menunjukkan sekumpulan lelaki dan perempuan sedang berselawat sambil menari menjadi tular di TikTok. Video tersebut menunjukkan beberapa individu di pentas memimpin bacaan selawat, diikuti oleh kumpulan yang berada di bahagian bawah yang turut serta dalam zikir sambil menari, mengayunkan kepala dan tangan ke kiri dan kanan.
Video ini dikatakan dirakam di sebuah daerah di Selangor, dan setelah menjadi viral, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diminta untuk menyiasat kejadian tersebut. Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah, menyatakan bahawa siasatan perlu dijalankan untuk memastikan sama ada program tersebut melibatkan amalan atau elemen pemujaan yang bertentangan dengan syarak.
“JAIS sewajarnya menyiasat sama ada perkara itu berlaku atau tidak dan jika ada elemen-elemen bertentangan dengan syarak, maka ia memang tidak patut dibenarkan, dan diambil tindakan tegas,” katanya.
Walau bagaimanapun, pada masa ini, pihak berkenaan tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai video tersebut. Exco tersebut menyatakan bahawa video ini mungkin melibatkan masyarakat Acheh, Indonesia, atau komuniti mereka yang menetap di Malaysia.
“Saya sudah menghantar video kepada JAIS untuk membuat siasatan lanjut,” katanya.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, menjelaskan bahawa penganjuran program seperti yang terlihat dalam video tersebut perlu mendapat kebenaran dari JAIS. Beliau juga menekankan bahawa JAIS menganggap serius perkara ini, terutamanya jika ia boleh menimbulkan fitnah kepada agama.
“Kadang-kadang dari segi cara tidak ada masalah, tetapi kadang-kadang pembawaan itu boleh menjadi fitnah. Contohnya berzikir di kubur sambil bergoyang-goyang mungkin hukumnya ada, tetapi kita tidak terima sebab boleh menyebabkan fitnah kepada agama,” katanya.
Mohd Shahzihan Ahmad juga mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan rujukan daripada pihak berkuasa agama berkaitan hal ehwal Islam di negeri Selangor sebelum menyertai atau mengadakan program seumpama itu.
“Kita bimbang ada taasub tak kiralah siapa, tetapi kalau sandarannya taasub kita tidak akan benarkan. Selawat boleh sahaja tanpa menari, kenapa hendak menari?” tambahnya.
Dah masuk Malaysia dah budaya ni.
— Zac (@ZacZakirin13) December 29, 2023
Selamatkan anak cucu kalian utk bezakan amalan sunnah dan budaya. Jangan biarkan budaya yang seakan dianggap beragama ini meresap ke anak cucu kita.
Nanti aku tunjuk video yang lagi extreme tengah berlaku dekat Indonesia. pic.twitter.com/2QHMlTygvs