Kakitangan Taman Negara jumpa kolam ‘dara’ dalam gua, dipenuhi air jernih seakan-akan susu.
Saintis-saintis menemui sebuah kolam ‘dara’ berwarna putih di dalam gua pada kedalaman 213 meter di negeri New Mexico, Amerika Syarikat, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kolam masih belum diteroka itu ditemui oleh kakitangan Taman Negara Carlsbad Caverns dan mereka menyifatkannya sebagai kolam yang amat suci.
Kolam tersebut dikelilingi oleh batu beku berwarna putih, manakala airnya kelihatan seperti air susu.
Namun, pemandangan itu hanya ilusi optik kerana air tersebut sebenarnya amat jernih, lapor laman berita Earthly Mission.
Ketua ekspedisi tersebut, Max Wisshak berkata, air itu dipercayai berasal daripada air hujan purba yang meresap melalui bumbung batu kapur.
“Kolam yang tidak disentuh sedemikian adalah penting secara saintifik kerana sampel air secara relatifnya bebas daripada pencemaran. Organisma mikrob yang mungkin hidup di dalam kolam tersebut pula sememangnya sudah ada di sana,” katanya.
Sementara itu, pasukan tersebut menerusi hantaran di Facebook ketika mengumumkan penemuan itu berkata, penjelajahan di dalam gua kadang kala menawarkan pemandangan kecil, namun menakjubkan.
“Kolam gua yang ditemui di Gua Lechuguilla ini nampaknya benar-benar bersih,” kata kenyataan itu.
Menurut seorang ahli pasukan itu, Rodney Horrocks, kolam tersebut terasing sejak beratus-ratus hingga ribuan tahun lalu dan tidak pernah terdedah kepada cahaya.