“Katanya beri makan je, lama kelamaan dah macam suami isteri, ada sekali ibu kantoi dengan ayah, mereka kena buku dan ruas”

Ketika saya berumur 15 tahun, ibu mempunyai teman lelaki yang beberapa tahun lebih tua daripada saya. Pada masa itu, ibu berumur 47 tahun. Pada mulanya, ibu mengatakan bahawa dia memberi sedekah makan kerana lelaki itu adalah anak yatim piatu.

Nampak macam tidak ada apa-apa yang pelik. Seperti ibu dan anak angkat. Lama-kelamaan, keadaan menjadi pelik. Bila ayah menghidupkan enjin motor dan keluar rumah, lelaki itu terus muncul entah dari mana. Setiap hari tanpa gagal.

Mereka masuk bilik mandi bersama. Mereka mengadakan hubungan suami isteri. Pada waktu malam, lelaki itu datang berbual-bual dengan ibu di hadapan ayah. Tanpa menghormati ayah. Lelaki itu cuba berbaik dengan saya. Ibu berlagak seolah-olah lelaki itu datang ke rumah kerana saya.

Saya dituduh gatal, dimarahi kakak kerana berangan mempunyai teman lelaki. Padahal dia teman lelaki ibu. Ibu kata hanya saya yang faham ibu dan tidak marah ibu. Ibu rasa saya sokong apa yang ibu buat. Sebenarnya, saya keliru, malu, dan benci mempunyai ibu begitu. Tapi tidak dapat diluahkan.

Saya jijik bila nampak ibu berperangai macam budak baru belajar bercinta. Ibu selalu ke rumah nenek kerana lelaki itu. Ibu sibuk memakai krim muka, memakai gincu terus berlari-lari ke rumah nenek bila ada peluang. Satu hari, ayah ternampak ibu ‘bersama’ dengan lelaki itu.

"Katanya beri makan je, lama kelamaan dah macam suami isteri, ada sekali ibu kantoi dengan ayah, mereka kena buku dan ruas”

Ayah terus ke balai polis buat laporan. Ayah kunci pintu tidak memberi ibu masuk rumah. Dua minggu ibu tidak ada di rumah adalah saat yang paling saya kenang hingga sekarang. Ayah masakkan mi goreng basah paling sedap pernah saya makan.

Adik menangis. Ayah cakap kena biasakan diri. Lepas ini ibu sudah tidak ada. Ibu bersembunyi di rumah nenek. Ibu curi-curi balik waktu malam. Tapi ayah paku tingkap. Ibu tidak dapat masuk. Saya suka. Nenek datang ke rumah. Minta saya serahkan beg duit dan barang kemas ibu yang disorokkan di bawah katil.

Saya ambil barang-barang itu dan serahkan pada ayah. Ayah jual semua rantai dan gelang ibu. Saya suka. Ibu lebih pentingkan gelang emas dia daripada saya dan adik-adik. Kakak saya tidak percaya ibu ada skandal dengan lelaki lain.

Kakak cakap ayah dayus. Kalau betul ayah nampak ibu buat benda terkutuk depan mata, ayah patutnya tumbuk pukul ibu dan lelaki itu. Bukan pergi ke balai polis yang jauhnya lima kilometer untuk buat laporan. Kakak cakap sambil ketawa.

Yang nampak ibu bawa lelaki lain itu saya. Yang nampak ibu marah ayah sebab mata sudah buat dengan cinta itu, saya. Yang dengar ibu merengek manja mandi sama dengan lelaki itu saya. Yang nampak semua perlakuan jijik ibu itu saya.

Saya dengar ibu maki ayah sebab perbuatan hina dia diketahui ayah. Ibu maki ayah kerana tidak dapat lagi berjumpa lelaki itu. Saya dengar semuanya. Saya masih ingat adik cerita kawan-kawan ejek, “ibu kau pelacur.” Saya masih ingat raut muka adik ketika itu. Kasihan adik.

Satu pagi, ayah minta saya hantarkan adik ke sekolah. Ayah kata nak bercakap dengan ibu. Cepat-cepat saya hidupkan motor. Saya ambil masa yang lama untuk balik selepas hantar adik kerana tidak sanggup nak dengar ibu berpura-pura menangis minta ampun dari ayah.

Saya dengar ayah hamburkan semua yang terbuku di hatinya. Ayah banyak berkorban untuk ibu. Ibu memang perempuan tak guna yang tidak kenang budi. Ibu saya pencurang perempuan murah. Akhirnya, ayah terima ibu ke dalam rumah semula.

Bermulalah episod pergaduhan hampir setiap hari yang meninggalkan kesan trauma dalam diri saya dan adik kerana kami masih tinggal di rumah. Kakak masih tidak percaya yang ibu betina murahan yang tidak guna. Saya belajar rajin-rajin kerana itu tiket untuk saya keluar dari neraka.

Tinggallah adik dan ayah menghadap ibu yang semakin lama semakin kurang ajar dengan ayah. Saya ambil masa yang sangat lama untuk terima ibu dan balik semula ke rumah. Saya benci rumah itu. Tapi bila dikenang semula, saya kesiankan adik dan ayah.

Betapa musnahnya zaman kanak-kanak kami dan tinggal kesan yang paling dalam dan tidak akan hilang. Peristiwa hitam berlaku 24 tahun lepas tapi saya masih ingat dengan jelas setiap perincian kejadian itu. Sekarang ibu berusia 70 tahun. Ayah masih dikurniakan kesihatan yang baik.

Adik saya menghidap skizofrenia dan beberapa masalah mental yang saya percaya akibat dari perbuatan dan penyiksaan ibu. Beberapa bulan lepas saya ada membaca mesej ibu. Ibu bertukar mesej dengan lelaki pencen yang sudah berkahwin.

Ibu menggunakan panggilan manja ibu dan ayah dengan lelaki tersebut. Serta-merta peristiwa dulu datang macam kilas balik dalam otak. Saya marah. Saya jijik. Saya kesian ayah dan adik. Ayah tidak berhak dicurangi lagi kali kedua.

Ayah tidak berhak semua keadaan ini setelah ayah berkorban semuanya untuk ibu. Ibu saya perempuan tak guna. Ibu tidak sabar nak tunggu ayah dijemput pencipta untuk menyundal semula. Saya marah dan tidak boleh cerita pada sesiapa pun hal ini.

Adik akan lebih sakit jika tahu hal ini. Ayah saya berhak untuk hidup aman dan tenang meniti hari tua. Saya tidak mahu ingat segala mesej ibu yang telah saya baca. Tapi semua ini sangat menyakitkan. Kepala saya sakit nak pecah fikirkan hal ini.

Saya akan jaga dan sayang ayah. Selama ayah ada, saya akan senyap. Saya akan pastikan perempuan itu hidup sendirian bila ayah bertemu pencipta.

BACA:
Kejadian pelik berlaku di England, ular sawa jantan lahirkan 14 ekor anak tanpa mengawan
Gadis cedera ketika serang majlis khatan anak kekasih gelap bapa, nenek sendiri ‘backup’ dan bersubahat
Salah seorang pemain Arsenal mempunyai darah keturunan Malaysia, sahkan nenek kandung berasal dari Rembau