Penduduk Kampung Sruwi, daerah Winongan, Pasuruan, Jawa, hidup dalam ketakutan apabila kain putih yang kelihatan seperti pocong ditemui di hadapan beberapa buah rumah, seperti yang dilaporkan oleh portal berita Akurat.co semalam.
Penghuni empat buah rumah menemui kain putih kecil yang diisi dengan dedaunan dan dibalut supaya kelihatan seperti pocong.
“Apabila dibuka, isinya ialah daun kelor, daun jeruk, dan daun jarak yang dibungkus dengan kain putih seperti pocong.
“Saya membuat laporan kepada pihak pentadbiran desa. Ia (kain putih seperti pocong itu) kemudian dibakar di balai desa,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Rifai.
Ketua Kampung Sruwi, Tikam, mengesahkan bahawa kain putih itu ditemui di empat buah rumah dan kejadian tersebut sudah berlaku selama 10 hari.
Kata Tikam, pihaknya bekerjasama dengan polis dan berpendapat bahawa perbuatan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, tetapi penduduk kampung tetap berasa takut.
Dia berkata, penduduk berharap orang yang melakukannya dapat ditangkap supaya motifnya dapat diketahui.