Genosid yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu ternyata telah membuka mata dunia tentang kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Sejak peperangan itu, ramai orang di seluruh dunia telah turun padang untuk menunjukkan solidariti mereka kepada Palestin.
Solidariti untuk Palestin?
Terbaharu, sebuah kelab bola sepak Deportivo Palestino dari Santiago, Chile telah menyentuh hati ramai apabila mereka membawa simbolik ‘kanak-kanak’ ke dalam padang.
Dalam video yang tular semalam, kelihatan 11 pemain kelab bola sepak Deportivo Palestino masuk ke dalam padang sambil memegang tangan ‘kanak-kanak’, walaupun tiada kelibat kanak-kanak pada ketika itu.
Ia sebagai simbolik kepada ribuan kanak-kanak Palestin yang telah syahid selepas menjadi mangsa keganasan dan kekejaman tentera yang tidak berperikemanusiaan.

Kemudian, mereka membuka jaket untuk menunjukkan baju mereka yang berwarna putih, merah dan hijau. Gabungan warna tersebut bersama seluar hitam menyerupai warna bendera negara Palestin. Tindakan mereka mendapat tepukan meriah daripada penonton di stadium.
Sebelum ini, kelab bola sepak Deportivo Palestino pernah memakai keffiyeh sebelum perlawanan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Sebagai Kesedaran untuk Orang Ramai
Umum mengetahui sebelum perlawanan bola sepak bermula, setiap pemain bola sepak akan mengiringi kanak-kanak dan berjalan bersama-sama masuk ke dalam padang. Menurut portal UEFA.com, tujuan pemain bola sepak mengiringi kanak-kanak adalah untuk meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan melindungi kanak-kanak.
Amalan ini telah dipraktikkan sejak tahun 1990-an lagi selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menandatangani perjanjian dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).