Petani di Konya, Turki, dilanda ketakutan dengan kemunculan lubang gergasi di ladang mereka. Lubang-lubang ini boleh menelan apa sahaja yang melintasinya, termasuk traktor dan manusia.
Fatih Sik, seorang petani berusia 45 tahun, memberitahu AFP bahawa dia sentiasa dihantui rasa cemas setiap kali dia memandu traktornya di ladang jagung.
“Lubang ini boleh menenggelamkan apa sahaja di mana-mana sahaja. Saya boleh mati jika terjatuh ke dalam lubang itu,” katanya.
“Tetapi, saya perlu bekerja jika tidak keluarga saya akan kelaparan,” tambahnya.
Kegusaran Fatih bukan sahaja dirasainya seorang. Kemunculan lubang-lubang gergasi ini telah menimbulkan keresahan di kalangan penduduk kampung yang majoritinya terdiri daripada petani.
Menurut pakar, lubang benam di kawasan itu boleh mencapai kedalaman sehingga 50 meter (165 kaki).
Peningkatan kemunculan lubang gergasi ini dikaitkan dengan musim kemarau yang berpanjangan, yang menyebabkan penggunaan telaga secara berlebihan untuk pengairan.
Dianggarkan kira-kira 640 lubang benam telah muncul di Konya, dengan lebih 600 daripadanya di Karapinar sahaja.
“Salah satu faktor utama lubang benam adalah perubahan iklim. Kira-kira 20 lubang telah muncul sejak setahun lalu di Karapinar,” kata Profesor bersekutu Universiti Teknikal Konya, Arif Delikan.
Arif dan agensi bencana kerajaan AFAD telah mengenal pasti lebih 2,700 kawasan berisiko terbentuknya lubang benam.
Bagaimana Lubang Benam Terbentuk?
Lubang benam terjadi apabila air menghakis batuan di bawah permukaan. Ia boleh terbentuk secara semula jadi atau melalui punca “antropogenik”, iaitu disebabkan oleh tindakan manusia secara langsung atau tidak langsung.
Lubang ini boleh muncul secara tiba-tiba atau terbentuk secara perlahan-lahan, dan semakin lama ia menjadi semakin besar.
Keadaan diburukkan lagi dengan kegiatan manusia seperti penggerudian telaga haram untuk mendapatkan air. Perkara ini secara tidak langsung melemahkan struktur batuan bawah tanah.
Arif menjelaskan bahawa wilayah Konya telah berdepan dengan krisis air selama 20 tahun. Para petani terpaksa beralih ke air bawah tanah untuk sistem pengairan di ladang mereka.
Akibatnya, paras air di Karapinar telah menurun sebanyak 10 hingga 20 meter setahun.