Kenapa perlu postmortem kalau dah tahu punca kematian? Doktor ini dedah jawapan yang perlu orang ramai tahu

Tidak jauh sebelum ini, kita digemparkan dengan berita nahas udara yang meragut nyawa sepuluh wira negara apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Menurut Bernama, proses bedah siasat ke atas sepuluh mangsa tragedi tersebut dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Bagaimanapun, terdapat pihak yang tertanya-tanya tentang keperluan melakukan proses bedah siasat sedangkan laporan rasmi menyatakan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagi menjawab persoalan itu, seorang doktor tampil menjelaskan mengapa perlu melakukan proses bedah siasat ke atas semua mangsa menerusi akaun TikTok, @alepza11.

Kenapa perlu melakukan bedah siasat ke atas mayat?

Kenapa perlu postmortem kalau dah tahu punca kematian? Doktor ini dedah jawapan yang perlu orang ramai tahu

Menurut @alepza11, bedah siasat dilakukan bagi membuktikan punca sebenar kematian. Hal ini kerana ia perlu dikemukakan dalam sijil mati mangsa yang bakal dicetak.

Tambahnya, apabila berlaku kemalangan, pelbagai kecederaan boleh terjadi. Misalnya kecederaan otak yang sangat teruk yang mungkin disebabkan jatuh terhantuk, atau benda berat yang jatuh atas kepala sehingga membawa kepada kematian.

Bukan itu sahaja, malah pendarahan yang sangat banyak membawa kepada serangan jantung boleh menjadi punca kematian ketika kemalangan.

Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh menyatakan akibat kematian disebabkan kemalangan atau kebakaran untuk mengeluarkan sijil mati.

Justeru itu, postmortem atau bedah siasat perlu dilakukan untuk mengemukakan kenyataan punca kematian sebenar secara perubatan.

Menurut @alepza11 lagi, proses bedah siasat dilakukan bukanlah disebabkan terdapat unsur jenayah atau unsur khianat ke atas mangsa.

Tujuan bedah siasat adalah untuk mencari punca kematian yang sebenar kerana perlu diletak diagnosis perubatan dalam sijil mati.

Pada masa sama, punca sebenar kematian adalah penting untuk dikenal pasti kerana sijil mati yang akan dikeluarkan berfungsi untuk pelbagai perkara, terutamanya bagi kegunaan waris mangsa.

Contohnya dalam hal sambung belajar, permohonan biasiswa, persekolahan anak, tuntutan insuran dan pelbagai lagi.

Di samping itu, bedah siasat turut dilakukan bagi kes-kes jenayah bagi kegunaan mahkamah.

BACA:
Suara yang sering kita dengar dalam MRT rupanya milik wanita ini – “Stesen berikutnya TTDI”
30 tahun aku merana, benda yang sama mesti berlaku bila tiba hari raya, paling aku ingat sampai bila-bila pakaian yang aku pakai
Susunan peristiwa ikut turutan kes cubaan tembak isteri dan pegawai yang cedera di KLIA