Pada tahun 2005, seekor anak kucing berusia enam bulan bernama Oscar telah dibawa ke sebuah rumah jagaan di Amerika Syarikat untuk dibesarkan sebagai kucing terapi. Para pekerja di rumah jagaan itu mula menyedari kelainan pada Oscar.
Berbeza dengan kucing biasa yang lebih suka bermain dan bersendirian, Oscar sering kali merangkak ke katil penghuni dan berbaring di sebelah mereka. Namun, perkara yang menakutkan adalah penghuni yang dipilih Oscar untuk ditemani lazimnya akan meninggal dunia dalam beberapa jam selepas itu.
Pada mulanya, kakitangan rumah jagaan itu tidak begitu mempercayai hal ini. Namun, setelah kejadian serupa berulang sebanyak 20 kali, mereka mula curiga. Mereka percaya bahawa Oscar mempunyai kemampuan untuk mengetahui bila seseorang akan meninggal dunia.
Oleh itu, apabila Oscar dilihat di sebelah seorang penghuni, kakitangan rumah jagaan akan segera menghubungi keluarga penghuni tersebut untuk memberi peringatan.
Para penyelidik berspekulasi bahawa Oscar mungkin mampu mengesan biokimia yang dikeluarkan oleh sel-sel yang akan mati. Hal ini mendorongnya untuk menenangkan para penghuni yang menghampiri ajalnya.
Dalam satu kejadian, kakitangan yakin bahawa seorang penghuni akan meninggal dunia. Mereka menunggu Oscar untuk menemani penghuni tersebut. Namun, Oscar memilih untuk menemani penghuni lain yang kelihatan lebih sihat. Dan benar, penghuni lain yang dipilih Oscar lah yang meninggal dunia terlebih dahulu.
Oscar telah meninggal dunia pada tahun 2022. Sepanjang hidupnya, dia telah meramalkan lebih daripada 100 kematian dengan tepat. Kemampuannya yang luar biasa ini telah menjadikannya sebagai legenda di rumah jagaan tersebut.