Lelaki dedah rahsia nak jimat elektrik masa menggunakan penghawa dingin dirumah, semua ada dekat ‘remote’.
PENGHAWA dingin bukan lagi lambang kemewahan malah dikira satu keperluan dalam masyarakat hari ini.
Mana tidaknya, perubahan iklim sedunia menyebabkan cuaca Malaysia lebih panas dari kebiasaan menyebabkan pendingin hawa diperlukan untuk suhu yang nyaman serta selesa di rumah atau pejabat.
Walaupun begitu, seperti diketahui ramai, alat ini memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang banyak untuk beroperasi dan bil anda pasti akan mencanak apabila kerap diguna.
Namun, jangan risau! Melalui satu perkongsian di TikTok oleh Kerol Shubry, ternyata ada cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik ketika pendingin hawa anda dibuka.
Ayuh kita lihat bagaimana.
Ketetapan suhu pada penghawa dingin
Menurut Kerol, terdapat satu komponen dinamakan sebagai ‘compressor’ dalam aircond anda yang ‘menelan’ tenaga elektrik yang banyak.
Tugas ‘compressor’ ini adalah untuk mengeluarkan angin sejuk melalui reaksi bahan kimia sehingga bilik mencapai suhu yang ditetapkan pengguna pada alat kawalan jauh.
Jika suhu pada alat kawalan jauh ditetapkan pada 16 darjah Celcius, iaitu suhu paling rendah untuk pendingin hawa, maka ‘compressor’ terpaksa bekerja dengan lebih kerap.
“Compressor ni kalau ikut normal patut berjalan sekejap, lepas tu rehat sekejap, kemudian berjalan balik. Kalau sepanjang masa berjalan, itu tak normal, itu elektrik jadi mahal.
“Kalau anda letak pada alat kawalan aircond, 16 darjah Celcius contohnya, compressor akan terus berjalan sepanjang masa selagi bilik tak capai tahap suhu tersebut.
“Dan saya boleh cakap, 16 darjah Celcius ni dengan keadaan kita di Malaysia, memang tak akan dapat, maksudnya compressor penghawa dingin akan sentiasa bekerja sebab dia nak cuba capai suhu itu.
“23 hingga 24 darjah Celcius adalah suhu yang ideal untuk penghawa dingin, suhu yang tidak akan membebankan compressor, dan suhu yang tidak akan ‘menelan’ banyak bil elektrik anda,” jelas Kerol.
Tambah Kerol lagi, 23 hingga 24 darjah Celcius juga sudah dikira suhu yang selesa untuk sesebuah bilik.
“Apabila suhu bilik dah cecah 24 darjah Celcius, sistem penghawa dingin akan tutup compressor, jadi compressor boleh berehat sekejap, waktu ni penggunaan elektrik rendah je.
“Nanti suhu bilik dah panas sikit, sistem penghawa dingin akan buka semula compressor sampai la suhu turun balik ke 24 darjah Celcius.
“Macam tu la caranya nak jimat elektrik penghawa dingin,” ujar Kerol.