Begitulah nasib sepasang kekasih yang menjadi mangsa ugutan daripada dua penjawat awam bertugas di Bukit Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 10.09 malam, 9 Januari yang lalu.
Kejadian itu turut melibatkan penderaan terhadap pelajar wanita, yang dirogol oleh salah seorang suspek. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa adalah pelajar kolej swasta.

“Pengadu adalah lelaki tempatan manakala kekasihnya adalah bukan warganegara. Mereka telah diancam dan ditahan oleh suspek sebelum dibawa ke tempat berasingan.
“Dalam kejadian tersebut, seorang daripada suspek turut merogol pengadu perempuan, manakala pengadu lelaki pula dibawa ke bank untuk membayar jumlah yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas,” ujar Datuk Hussein dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, selepas menerima laporan, pasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang telah melakukan tangkapan pada Rabu dan kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari.
“Dua kertas siasatan telah dibuka, satu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala satu lagi di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini dipelawa untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222,” jelasnya.