Menjadi salah satu tarikan yang unik di Jepun, ini kisah gelap tentang Hutan Aokigahara yang ramai tak tahu.
Jepun terkenal dengan tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong setiap tahun, termasuk budaya mereka yang pembersih dan saling menghormati.
Namun, satu lagi kisah yang turut menyertai tumpuan pelancong adalah Hutan Aokigahara, terletak di kaki Gunung Fuji.
Kisah hutan tersebut merupakan sisi gelap dari cerita yang nyaman sering didengar di negara Matahari Terbit itu.
Mengutip perkongsian pemilik akaun Facebook, Zunita Ramli, melalui kumpulan ‘Road to Japan’, kisah Hutan Aokigahara agak menakutkan.
Ini disebabkan hutan suram tersebut menjadi tempat pilihan bagi orang yang menghadapi masalah untuk mengakhiri hidup mereka, atau yang dikenali sebagai bunuh diri.
“Bunuh diri bukanlah perkara yang mudah dilakukan. Untuk menggantung diri, melompat ke landasan keretapi ketika kereta berlalu laju, atau menghiris nadi sendiri, apakah ini dianggap mudah? Tindakan ini memerlukan ketegasan dan keberanian yang tinggi, tetapi mengapa begitu ramai orang Jepun sanggup melakukannya?
“Sejak beratus-ratus tahun lalu, Jepun telah mengamalkan sesuatu yang dikenali sebagai Seppuku atau Harakiri. Ini adalah satu hukuman untuk samurai yang melakukan ke salahan besar, di mana Harakiri melibatkan merobek perut sendiri (bunuh diri) untuk mengembalikan maruah keluarga.
“Walaupun Seppuku kini diharamkan, namun amalan ini telah menjadi sebahagian daripada jiwa orang Jepun. Oleh itu, semasa Perang Dunia Kedua, ramai orang Jepun sanggup melakukan amalan Kamikaze demi mempertahankan negara mereka. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika pada masa kini, ramai orang Jepun memilih untuk mengambil nyawa sendiri untuk ‘keluar’ dari masalah mereka,” katanya dalam kiriman tersebut.
Zunita menyatakan bahawa terdapat rakyat Jepun yang percaya kepada konsep enam dunia yang juga mempengaruhi keputusan bunuh diri di Jepun.
“Dalam kepercayaan kepada konsep enam dunia ini, roh beredar di dalam enam dunia ini, dengan keyakinan dalam proses kelahiran semula (reinkarnasi). Oleh itu, apabila seseorang individu sudah bosan dengan kehidupan ini, bunuh diri dianggap sebagai penyelesaian yang mudah untuk mendapatkan kelahiran semula dan memulakan kehidupan yang baru,” katanya.
Zunita menambah bahawa keinginan untuk mencapai kesempurnaan juga mungkin menjadi salah satu sebab orang-orang Jepun merasa kecewa dan memilih untuk bunuh diri.
Sementara itu, kebanyakan orang Jepun tidak bunuh diri kerana gagal, tetapi kerana kecewa kerana tidak mencapai tahap kesempurnaan yang diinginkan.
“Mereka juga menetapkan matlamat yang terlalu tinggi sehingga sukar dicapai, menyebabkan mereka jatuh ke dalam alam kemurungan dan akhirnya mengambil nyawa sendiri.
“Budaya Jepun sendiri mungkin menjadi penyumbang kepada masalah ini. Mereka tidak memiliki pelbagai cara untuk meluahkan perasaan kecewa dan marah. Dalam kebanyakan situasi, apa sahaja yang berlaku, perlu ditahan sahaja. Oleh itu, tidak menghairankan jika ramai yang berakhir dengan hikikomori (pengasingan diri dari dunia luar) dan akhirnya memilih untuk bunuh diri,” katanya.
Jepun memang sebuah negara yang hebat dan terkenal dengan sisi yang baik, tetapi pada masa yang sama, ia juga mempunyai kisah gelap di sebalik keindahannya.
Kita boleh membuat perbandingan untuk setiap perkara yang berlaku. Setiap amalan baik orang Jepun boleh dijadikan contoh dalam kehidupan harian.
Manakala, sikap-sikap yang merosakkan akidah dan tidak mengikut ajaran agama tidak perlu dicontohi.