“Musim hujan upah tinggi” – Wanita terkejut runner caj RM50 untuk satu penghantaran makanan harga RM7.50.
Keneradaan golongan runner yang menawarkan pelbagai perkhidmatan memang memudahkan urusan seseorang terutama bagi yang sering sibuk atau mempunyai kekangan tertentu.
Khidmat runner biasanya digunakan untuk menghantar barangan, membeli makanan, keperluan dapur, atau sebarang urusan lain yang sesuai.
Caj yang dikenakan oleh runner bergantung kepada servis dan faktor-faktor lain, seperti jarak untuk ke sesuatu lokasi.
Kisah seorang wanita menjadi tular apabila dia berkongsi pengalaman mengenai caj yang tidak masuk akal yang dikenakan oleh seorang runner.
Menurut wanita tersebut, dia menggunakan khidmat seorang runner untuk membeli sebungkus nasi sebelum dihantar kepada ibunya di rumah.
“Hari ini, umi saya tak sihat, dia minta tolong saya carikan runner pergi beli nasi dekat kawasan pasar raya Billion (Kota Sri Mutiara).
“Seorang runner ini diminta untuk membeli nasi untuk umi saya. Saya agak terkejut (terkejut beruk) apabila melihat caj runner untuk beli nasi dan hantar ke umi saya,” tulisnya.
Wanita tersebut memuat naik imej tangkapan skrin perbualannya dengan runner yang memaklumkan bahawa nasi sudah selamat dihantar bersama dengan caj yang dikenakan.
“Nasi berlauk ayam RM7.50, caj runner semasa hujan lebat RM50. Jumlah RM57,” demikian jawapan runner tersebut seperti yang terpapar dalam tangkapan skrin perbualan di aplikasi WhatsApp.
Wanita tersebut menambahkan bahawa jarak antara rumah ibunya di Kubang Kerian dengan lokasi runner di Kota Bharu, Kelantan hanya sekitar lapan kilometer.
Dia tidak menggunakan khidmat runner atau rider syarikat penghantaran makanan lain kerana sebelum ini, sesetengah ahli keluarganya pernah menggunakan khidmat runner yang sama.
“Kesian kepada orang tua macam itu… runner pun, agak-agaklah nak caj pun.
“Saya terkejut apabila dikenakan caj yang pada pendapat saya agak tinggi kali ini,” tulisnya.
Dalam ruangan komen, kebanyakan warganet turut meluahkan rasa terkejut dan hairan dengan caj yang dikenakan kepada wanita tersebut.