Padah pakai baju longgar, wanita kantoi seludup 16 ekor binatang ‘hampir pupus’ dalam coli.
Pegawai kastam di Pelabuhan Futian, China menggagalkan cubaan menyeludup 16 ekor cicak hidup yang disembunyikan dalam coli seorang penumpang wanita.
Wanita yang tidak didedahkan namanya itu dipercayai cuba membawa reptilia malang tersebut ke Shenzhen dari Hong Kong.
Rahsia suspek terbongkar selepas seorang ejen kastam menyedari bajunya terlalu longgar dan mengesyaki dia cuba menyembunyikan sesuatu.
Pemeriksaan lanjut mendapati lima beg berjaring disembunyikan dalam colinya yang mengandungi 16 ekor cicak besar seperti iguana daripada spesies Hydrosaurus amboinensis berasal dari Indonesia.
Hydrosaurus amboinensis diisytihar terancam berikutan perdagangan haiwan peliharaan eksotik.
Di bawah peraturan kastam China, haiwan dari luar negara mesti diisytiharkan sebelum masuk dan menjalani tempoh kuarantin selepas itu.
Bulan lalu, pegawai kastam di Pelabuhan Futian turut menggagalkan cubaan menyeludup 14 ekor ular hidup yang disembunyikan dalam poket seluar seorang penumpang lelaki.