Nasib malang menimpa seorang lelaki berusia 20 tahun di Uttar Pradesh, India. Mangsa telah ditipu oleh ‘kawan’ sendiri untuk menjalani pemeriksaan di hospital, namun dia tersedar bahawa kemaluannya telah dibuang.
Kehidupannya musnah apabila ‘kawan’ itu memberitahu bahawa dia kini seorang perempuan dan mereka perlu berkahwin. Rupa-rupanya, mangsa telah diancam dan diganggu oleh suspek selama dua tahun. Pada 3 Jun, dia dibawa ke hospital dengan alasan memerlukan pemeriksaan segera.
Suspek disyaki berkomplot dengan doktor untuk menjalankan pembedahan tersebut. Selepas bantahan dan desakan orang ramai, suspek akhirnya ditangkap.
Semasa di hospital, mangsa diberi bius dan pembedahan dijalankan.
Selepas sedar, suspek memberitahu mangsa bahawa dia kini perlu tinggal bersamanya kerana tiada siapa dari keluarga atau masyarakat yang akan menerimanya lagi.
Sekiranya mangsa enggan, suspek mengancam akan menembak bapanya dan merampas hak milik tanah pusaka.
“Saya langsung tidak tahu apa yang akan berlaku di hospital. Saya ikut sahaja dia dengan niat baik,” kata mangsa kepada News18 dari hospital.
“Apabila saya sedar keesokan harinya, dia beritahu saya sudah menjadi perempuan dan kami perlu kahwin.
“Dia kata telah mengubah saya menjadi perempuan dan kami perlu tinggal bersama.
“Dia beritahu seorang peguam bersetuju menjalankan pernikahan di mahkamah dan kami akan berpindah ke Lucknow, tempat tinggal bapa saudaranya.
“Dia mahu membina rumah di sana dan telah mengeluarkan wang sebanyak Rs 35,000 dari akaun saya.”
Pemimpin petani, Shyam Pal, telah mengadakan bantahan di hadapan hospital tersebut. Beliau mendesak tindakan diambil terhadap suspek dan kakitangan hospital yang didakwa menjalankan pembedahan tanpa persetujuan mangsa.
Shyam Pal turut mengaitkan kejadian ini dengan ‘kegiatan haram penjualan organ manusia’.
Pegawai polis, Ramashish Yadav, menyatakan: “Keluarga mangsa mendakwa suspek telah memperdayakan mereka untuk bersetuju dengan pembedahan tersebut.
“Suspek akan disiasat.
“Tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil berdasarkan bukti yang ditemui.”