Kejadian sedih berlaku di negara jiran, Indonesia, di mana seorang lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia ketika sedang asyik menari dangdut di atas pentas.
Menerusi video yang tular di media sosial, lelaki tersebut yang memakai baju berwarna kelabu, berseluar pendek bawah lutut dan memakai songkok, dilihat sedang menghampiri seorang wanita yang memakai gaun berwarna kuning.
Sambil menari dengan perlahan, lelaki tersebut memberikan sejumlah wang kepada penyanyi wanita itu sebelum berundur beberapa langkah dan membongkok selama beberapa saat. Tiba-tiba, dia rebah di atas pentas.

Pada mulanya, muzik masih belum berhenti dan penyanyi wanita itu meneruskan nyanyiannya. Namun, beberapa orang kemudian naik ke atas pentas untuk memeriksa keadaan lelaki tersebut.
Menurut sumber, kejadian ini berlaku di Madura, Indonesia pada Isnin lepas (24 Jun 2024). Polis mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai penyakit jantung dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kisah ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang pentingnya menjaga kesihatan dan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami sebarang masalah kesihatan.
Semoga roh mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kepada keluarga yang ditinggalkan, semoga tabah menghadapi ujian ini.