Sepasang suami isteri warga emas di wilayah Lamphun panik apabila emas bernilai lebih 200,000 baht (RM25,765) milik mereka hilang selepas ditanam di tanah belakang rumah, lapor laman berita Thaiger semalam.
Prawet Sitha, 71, menyatakan bahawa dia dan isterinya, Somboon Phudontong, 69, menanam barangan kemas yang diperbuat daripada emas itu sebelum mereka pergi ke hutan berdekatan untuk mencari cendawan.
Pasangan itu berbuat demikian kerana bimbang barangan kemas tersebut akan dicuri sepanjang ketiadaan mereka di rumah.
Pada 29 Mei lalu, Prawet menggali lubang sedalam 30 sentimeter di bawah sebatang pokok longan yang terletak kira-kira 4 meter dari rumahnya.
Dia kemudian meletakkan semua barangan kemas termasuk dua utas rantai dan seutas gelang emas ke dalam lubang tersebut.
Prawet menutup lubang itu dengan tikar dan meletakkan reban ayam beserta seekor ayam di atasnya.
Namun, pada 3 Jun lalu, ketika Prawet dan isterinya mahu memakai emas untuk satu acara, mereka terkejut apabila mendapati semua barangan kemas yang ditanam telah hilang.
Menurut lelaki itu, ini bukan kali pertama dia menanam barangan kemas kerana dia telah beberapa kali melakukan perkara yang sama dan sering mengubah lokasi setiap kali ia dilakukan.
Tambahnya lagi, hanya dia dan isterinya yang mengetahui lokasi emas itu ditanam.
Pasangan tersebut telah membuat laporan polis mengenai kehilangan emas itu, dan pihak berkuasa kini sedang menyiasat kes tersebut untuk mencari pelakunya.