Kes Mona Fandey pernah menarik perhatian rakyat Malaysia suatu masa dahulu kerana ia merupakan kes yang mencuat dan terkenal, iaitu pembunuhan seorang ahli politik yang dirancang oleh penyanyi, Mona Fandey, serta mempunyai unsur-unsur mistik.
Dalam satu laporan, seorang pegawai penjara, Norizan Hamid, berkongsi pengalamannya semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama arwah Mona Fandey semasa bertugas di bilik tahanan banduan akhir di Penjara Wanita Kajang pada suatu ketika dahulu.
“Untuk menghilangkan rasa bosan, arwah (Mona) selalu menyanyikan beberapa lagu kegemarannya dan juga membaca Al-Quran siang dan malam, suaranya memang menghiburkan,” ujar Norizan.
Baginya, pengalaman tersebut tidak mudah dilupakan sepanjang perkhidmatannya selama 30 tahun kerana banduan akhir perlu diberikan layanan yang baik, berbeza dengan banduan lain.
Mengenai pengalamannya sebagai seorang warden penjara, perbualan dengan mereka yang menunggu hukuman gantung sampai mati membuatkan dia berasa sedih.