Seorang pelajar kolej berusia 20 tahun terasa kehilangan arah apabila mengetahui dia hamil hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya.
Tidak mahu aibnya diketahui oleh keluarganya, gadis itu kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis palsu pada Selasa, mendakwa menjadi mangsa rogol.
Perkara tersebut diungkapkan oleh Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook selepas gadis tersebut membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pada pukul 7.26 malam, Selasa.
Dalam laporan palsu tersebut, gadis itu mendakwa kediamannya di Kampung Serting Ilir, Bahau, dimasuki oleh lelaki tidak dikenali yang menutup wajah dengan topeng.
Dia juga mendakwa menjadi mangsa rogol pada pukul 6.15 petang, Selasa.
Bagaimanapun, semasa pemeriksaan telefon bimbit pelajar itu, pihak polis mendapati perbualan yang mencurigakan dengan kekasihnya.
Akhirnya, gadis itu mengakui bahawa laporan yang dibuat adalah satu cerita yang dipalsukan olehnya.
“Pelajar tersebut membuat laporan palsu kerana sudah mengandung hasil daripada hubungan seks dengan teman lelakinya dan takut diketahui keluarganya.
“Pihak forensik yang menjalankan pemeriksaan tidak menjumpai spesimen atau cecair air mani di tempat kejadian.
“Selepas dibawa ke Hospital Jempol, hasil pemeriksaan mendapati dia tidak mengalami kecederaan sebaliknya sudah mengandung lima minggu,” ujarnya pada Rabu.
Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Polis juga akan memohon perintah untuk menyiasat (OTI) daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan siasatan.