Kemasukan pelancong luar memang dialu-alukan untuk menyokong sektor pelancongan di negara kita.
Selain meneroka destinasi menarik, kunjungan mereka ke Malaysia pastinya tidak lengkap tanpa merasai kelezatan hidangan tempatan yang ditawarkan.
Baru-baru ini, video seorang pelancong bukan warganegara yang membeli sebiji burger di sebuah gerai tepi jalan di ibu negara telah menjadi viral dan menarik perhatian ramai.
Rata-rata netizen mengungkapkan kehairanan apabila sebiji burger daging di gerai tersebut dijual pada harga RM10, sedangkan biasanya dijual pada harga sekitar RM4 atau RM5 di kebanyakan tempat lain di sekitar Kuala Lumpur.
Burger yang dibeli oleh lelaki tersebut juga tidak mengandungi telur atau keju, menjadikan harga RM10 yang dikenakan terhadapnya kelihatan tidak munasabah.
Berdasarkan video yang dikongsi, burger tersebut hanya mengandungi roti, sekeping daging, sos, serta sayur-sayuran.
Video reviu burger pelancong tersebut menjadi viral di media sosial.
“Ni harga biasa ke? Tak ada cheese tak ada telur? RM10,” kata salah seorang lelaki yang mengendalikan gerai tersebut kepada pelancong tersebut.
Dalam perkongsian video reviu burger di laman Facebook miliknya, pelancong itu turut bertanya kepada para pengikutnya sama ada dia telah ditipu oleh peniaga gerai tersebut.
“Adakah saya betul-betul kena tipu oleh (peniaga) gerai burger ini?” tulisnya dalam kapsyen menerusi video yang dikongsinya pada 13 Januari lalu.
Video tersebut meraih lebih setengah juta tontonan dan mendapat banyak komen daripada netizen yang tidak bersetuju dengan harga burger tersebut.
Beberapa individu turut mengaitkan akaun rasmi Kementerian Perdagangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta berharap agar tindakan diambil terhadap peniaga tersebut.
“RM10 untuk burger biasa? Itulah sebabnya mereka nampak risau dan tidak senyum ketika anda merakam video. Rupanya mereka mengambil kesempatan dan menipu anda.
“Betulkah burger biasa berharga RM10? Adakah itu disebabkan dia warga asing? KPDNHEP boleh membantu menyiasat? Harga burger biasa ini terlalu tinggi. Pelancong ini ditipu oleh peniaga burger tersebut,” desak beberapa individu di laman Facebook.