Seorang pemandu teksi di China dengan gigih berusaha mencari seorang penumpang wanita yang telah tersilap membayar tambang sebanyak 170,000 yuan (RM111,250), seperti yang dilaporkan oleh portal berita South China Morning Post.
Pemandu teksi yang bernama Du Liming telah berusaha mencari penumpang wanita tersebut, yang kemudiannya dikenali sebagai Chen, selama lima hari sebelum akhirnya berhasil menemui beliau.
Kejadian ini berlaku ketika Liming menghantar Chen pulang ke rumah pada sekitar pukul 3 pagi pada 14 Disember 2023. Selepas perjalanan, Chen membayar tambang sebanyak 60 yuan (RM39) menggunakan kod QR. Namun, ketika Liming menutup syif, dia terkejut apabila mendapati jumlah wang sebanyak 170,000 yuan telah dimasukkan ke dalam akaun Alipay miliknya.
Setelah menyemak semula, Liming segera pergi ke balai polis berhampiran, menghubungi syarikat teksinya, dan juga berkomunikasi dengan pihak Alipay. Selain itu, dia meninggalkan mesej kepada Chen untuk memberitahu tentang kesilapan tersebut.
Dalam beberapa hari berikutnya, Liming mencuba pelbagai cara untuk mencari Chen. Beliau meminta bantuan media tempatan untuk membantu dalam usahanya mencari penumpang tersebut.
Akhirnya, seorang rakan yang membantu Chen naik ke dalam teksi Liming melihat berita tersebut. Mereka berjumpa keesokan harinya, dan Liming berhasil memulangkan jumlah wang yang disilapkan oleh Chen tersebut.