Penduduk kampung kental, selamba berumah yang dikelilingi kubur.
Sebuah kampung di Majalengka, wilayah Jawa Barat menjadi tumpuan netizen kerana kehadiran kubur di merata tempat, bahkan ada yang sangat dekat dengan rumah penduduk, dilaporkan oleh portal berita Dream.co semalam.
Dalam klip video yang dimuat naik di saluran YouTube, Rizquna Channel, kampung yang dikenali sebagai ‘kampung 1,000 kubur’ itu terlihat memiliki banyak tapak kubur yang dibina dengan jarak yang sangat rapat antara satu sama lain.
Beberapa kediaman penduduk memiliki hingga lima kubur di halaman rumah, dan terdapat juga kubur di tepi jalan.
Pemilik saluran YouTube tersebut menyifatkan suasana menjadi seram apabila melalui jalan-jalan di kampung tersebut pada waktu malam.
Namun, menurut cerita penduduk kampung, penempatan kubur di sekeliling rumah adalah tradisi turun-temurun di kampung tersebut. Mereka menguburkan anggota keluarga yang telah meninggal dunia di sekeliling rumah.
“Ini bukan kawasan perkuburan umum, sebaliknya kawasan kubur milik keluarga,” kata pemilik video tersebut.